ASIA
2 min membaca
Krisis makanan, masa depan gelap memaksa pelarian Rohingya pertaruh nyawa di lautan
Bagi Rahila Begum, 26, pengalaman berpaut pada serpihan kayu selama dua hari di Laut Andaman selepas bot yang membawa 300 penumpang karam awal bulan ini, adalah satu mimpi ngeri yang hampir meragut nyawanya.
Krisis makanan, masa depan gelap memaksa pelarian Rohingya pertaruh nyawa di lautan
Rahila Begum, 25, mangsa yang terselamat insiden bot karam di Laut Andaman, ditemui di sebuah kem pelarian di Cox's Bazar, Bangladesh, 16 April 2026. / REUTERS

Kesempitan hidup dan catuan makanan yang semakin meruncing di kem pelarian Bangladesh memaksa ribuan etnik Rohingya mempertaruhkan nyawa mereka meredah lautan dalam perjalanan maut menuju ke negara jiran termasuk Malaysia.

Bagi Rahila Begum, 26, pengalaman berpaut pada serpihan kayu selama dua hari di Laut Andaman selepas bot yang membawa 300 penumpang karam awal bulan ini, adalah satu mimpi ngeri yang hampir meragut nyawanya.

Beliau merupakan antara segelintir mangsa yang terselamat dalam tragedi yang menyaksikan kira-kira 250 orang lagi hilang dan dikhuatiri lemas.

"Saya tidak pernah menyangka akan terselamat. Ia terasa seperti hidup saya akan berkahir," kata Rahila yang kini trauma dan mengalami kecederaan melecur akibat tumpahan minyak enjin yang bercampur air laut semasa kejadian tersebut.

Menurut agensi pelarian PBB (UNHCR), 2025 merupakan tahun paling mengerikan dalam rekod lintasan laut serantau dengan hampir 900 etnik Rohingya dilaporkan hilang atau maut.

Trend ini berterusan apabila lebih 2,800 orang cuba melarikan diri antara Januari hingga pertengahan April tahun ini akibat bantuan antarabangsa yang semakin berkurangan.

Penyusutan dana menyebabkan Program Makanan Sedunia (WFP) terpaksa mengurangkan kadar catuan bulanan kepada serendah AS$7 (RM28) bagi sesetengah individu.

Keadaan ini menyebabkan ramai pelarian, terutamanya golongan muda, berasa putus asa kerana tidak dibenarkan bekerja dan mempunyai akses pendidikan yang sangat terhad di kem Cox's Bazar.

"Rakyat Rohingya masih muda dan bercita-cita untuk kehidupan lebih baik, namun harapan itu semakin bertukar menjadi perasaan terdesak. Itulah sebabnya belia dan banuak keluarga memutuskan untuk mengambil perjalanan bot yang berbahaya ini," jelas pegawai UNHCR, Astrid Castelein.

Walaupun pihak berkuasa Bangladesh meningkatkan rondaan pantai bagi mengekang rangkaian pemerdagangan manusia, skala kedaifan yang melampau di kem berkenaan menyukarkan penguatkuasaan.

Bagi kebanyakan pelarian, mati di tengah lautan dilihat sebagai risiko yang terpaksa diambil berbanding terus menderita tanpa arah tuju di daratan.

SUMBER:REUTERS