Anwar: Kerjasama nadir bumi Malaysia-Korea bukti Putrajaya tidak terikat dengan AS
Anwar menegaskan kerjasama dengan pelbagai negara membuktikan Malaysia kekal bebas dan pragmatik dalam dasar pelaburan strategiknya.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia tidak terikat dengan mana-mana kuasa besar selepas mengumumkan kerjasama baharu dengan Korea Selatan dalam pengeluaran nadir bumi tempatan.
Beliau berkata demikian di Parlimen pada Isnin sebagai menjawab dakwaan bahawa Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) yang dimeterai bulan lalu lebih memihak kepada Amerika Syarikat.
“Ini penting untuk dijelaskan kerana ada pihak mendakwa kita hanya boleh menjual nadir bumi kepada AS. Ini tidak benar,” kata beliau semasa sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri.
“Dua minggu lalu di Korea Selatan, saya arahkan GLC kita bekerjasama dengan firma Korea bagi membuka kemudahan super magnet baharu di Pahang — selepas perjanjian dengan Donald Trump ditandatangani.”
Anwar berkata Putrajaya turut meneroka kerjasama dengan China dalam sektor sama.
“Saya cadangkan pelaburan China bekerjasama dengan Khazanah Nasional Berhad dalam projek nadir bumi supaya tiada isu sekatan,” katanya.
Pada 1 November lalu, Anwar mengumumkan pembinaan kemudahan pembuatan magnet berkuasa tinggi bernilai RM600 juta oleh syarikat Korea Selatan, JS Link, yang akan bekerjasama dengan Lynas Malaysia di Pahang.
Projek itu dijangka menghasilkan sehingga 3,000 tan magnet kekal neodymium-iron-boron setahun.
Langkah itu dibuat ketika kritikan meningkat terhadap ART, termasuk klausa yang melarang Malaysia daripada mengenakan kuota atau sekatan eksport nadir bumi ke AS.
Namun, Anwar menegaskan kerjasama dengan pelbagai negara membuktikan Malaysia kekal bebas dan pragmatik dalam dasar pelaburan strategiknya.