Eksport Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) melonjak 69.1 peratus kepada RM282.07 bilion bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, meskipun terdapat pengenaan tarif tambahan ke atas sebahagian barangan Malaysia oleh negara berkenaan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Johari Abdul Ghani berkata jumlah dagangan dua hala antara Malaysia dan AS turut meningkat 39.6 peratus kepada RM378.70 bilion dalam tempoh yang sama.
Menurut beliau, prestasi eksport yang memberangsangkan itu didorong terutamanya oleh peningkatan permintaan terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E), khususnya sektor semikonduktor.
"Permintaan ini meningkat seiring perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) serta pembangunan pusat data di peringkat global," katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Johari berkata Malaysia turut mendapat manfaat daripada pengecualian tarif tambahan AS bagi kebanyakan produk semikonduktor dan E&E, yang menunjukkan rantaian bekalan negara itu masih bergantung kepada sektor berkenaan.
Katanya, sektor E&E menyumbang kira-kira 64.2 peratus daripada keseluruhan eksport Malaysia ke AS, manakala semikonduktor mewakili 44 peratus daripada eksport E&E negara.
Bagaimanapun, kementerian telah mengenal pasti beberapa produk yang sangat bergantung kepada pasaran AS dan tertakluk kepada tarif tambahan tanpa menerima pengecualian.
Antara sektor yang terkesan ialah sarung tangan getah, perabot dan peranti perubatan, dengan AS menyumbang sekitar 32 hingga 47 peratus daripada eksport bagi produk-produk tersebut.
Menurut Johari, strategi mempelbagaikan destinasi eksport dan mengurangkan kebergantungan kepada satu pasaran sahaja kekal sebagai pendekatan terbaik bagi mengurangkan risiko kejutan luaran.
Sehubungan itu, kementerian giat memajukan perjanjian perdagangan bebas serta meneroka pasaran bukan tradisional di Asia Barat, Afrika, Amerika Latin dan Asia Selatan, selain membantu PKS melalui geran, insentif serta misi perdagangan dan pelaburan.




















