Malaysia akan terus memperluas penggunaan mata wang tempatan dalam perdagangan dan pelaburan rentas sempadan bagi mengurangkan kos transaksi serta memperkukuh daya tahan kewangan, kata Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Anwar Ibrahim.
Dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Marang Abdul Hadi Awang mengenai pembaharuan kewangan antarabangsa melalui BRICS, Anwar berkata penggunaan mata wang tempatan merupakan antara fokus kerjasama kewangan blok itu.
Manfaatnya kepada negara membangun tertumpu kepada kecekapan urus niaga dan perlindungan terhadap kejutan luaran.
“Penggunaan mata wang tempatan yang lebih meluas dapat mengurangkan kos transaksi dan risiko pertukaran asing serta membolehkan pengurusan pendedahan pertukaran asing yang lebih cekap,” katanya.
Anwar berkata peningkatan urus niaga dalam mata wang serantau, termasuk mata wang negara BRICS, dapat meningkatkan kecairan dan membangunkan pasaran pertukaran asing serantau.
Namun, penggunaan mata wang utama antarabangsa masih dipengaruhi saiz pasaran kewangan serta penerimaan meluas dalam kalangan perniagaan dan pelabur.
“Sehubungan itu, usaha memperluas penggunaan mata wang tempatan perlu dipacu oleh permintaan pasaran, disokong oleh infrastruktur pembayaran rentas sempadan yang cekap dan diperkukuh dengan kerjasama berterusan antara negara,” katanya.
Malaysia telah bekerjasama dengan China untuk memudahkan penggunaan renminbi dan ringgit dalam perdagangan dua hala, selain melaksanakan Rangka Kerja Transaksi Mata Wang Tempatan (LCTF) dengan Indonesia dan Thailand.
Anwar berkata mekanisme sedia ada akan terus diperkukuh bagi menyokong sistem kewangan yang lebih pelbagai dan berdaya tahan.





















