Pendudukan Israel ke atas wilayah Palestin adalah masalah sebenarnya, bukan Hamas, kata ketua Pejabat Maklumat Kerajaan di Gaza sebagai respons terhadap seruan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump agar kumpulan itu membebaskan semua tebusan Israel dengan segera.
“Rakyat kami atau perjuangan di Gaza tidak pernah menjadi masalah. Masalahnya adalah pendudukan (Israel),” kata Salama Maroof dalam satu kenyataan di X pada Khamis.
Beliau turut mengkritik kenyataan Trump, dengan berhujah bahawa kenyataan sedemikian “memberi sokongan mutlak dan galakan kepada penjenayah perang (Perdana Menteri Israel Benjamin) Netanyahu, membolehkannya terus melakukan jenayah terhadap 2.4 juta orang.”
“Apa yang sedang berlaku hari ini di (Tebing Barat yang diduduki) dan Baitulmaqdis adalah buktinyai,” tambahnya.
Pada Rabu, Trump mengeluarkan amaran keras terhadap Hamas, menuntut pembebasan segera semua tebusan yang ditahan di Gaza, sambil mengancam nyawa mereka jika permintaan itu tidak dipenuhi.
“Segera bebaskan semua tebusan sekarang, bukan nanti, dan kembalikan semua mayat orang yang kamu bunuh, atau segalanya akan BERAKHIR bagi kamu,” katanya dalam satu hantaran di platform Truth Social miliknya.
Trump turut memberi amaran kepada rakyat Gaza, mengaitkan masa depan mereka dengan nasib tebusan.
“Masih ada Masa Depan yang indah menanti, tetapi tidak jika kamu menahan Tebusan. Jika kamu berbuat demikian, kamu akan MATI! Buat keputusan yang BIJAK.”
Pembunuhan beramai-ramai oleh Israel
Israel telah membunuh lebih 48,400 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dalam serangannya ke atas Gaza yang terkepung dengan sokongan AS.
Israel memutuskan pada Ahad untuk menghentikan penghantaran bantuan kemanusiaan, beberapa jam selepas fasa pertama perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan antara Israel dan Hamas berakhir.
Fasa pertama perjanjian enam minggu yang berkuat kuasa pada akhir Januari secara rasmi berakhir pada tengah malam Sabtu.
Bagaimanapun, Israel masih enggan beralih ke fasa kedua perjanjian untuk menamatkan genosidnya di Gaza secara kekal.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap pada November lalu terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas menteri pertahanannya Yoav Gallant atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung perangnya di wilayah tersebut.
SUMBER: TRT WORLD DAN AGENSI

















