Kumpulan bersenjata etnik Ta’ang National Liberation Army (TNLA) dilapor meletupkan jambatan Moe Tay di utara negeri Shan pada 18 Oktober bagi menghalang kemaraan tentera junta ke arah bandar Namtu, lapor Eleven Media.
Jambatan itu dibina merentasi Sungai Myitnge (atau Dokhtawaddy) di laluan Hsipaw–Namtu, kira-kira 40 batu dari Hsipaw dan 20 batu dari daerah Lashio.
Ketika ini, kawasan sekitar Namtu dan beberapa laluan berhampiran dilapor berada di bawah kawalan TNLA.
Menurut penduduk tempatan, tindakan itu dilakukan selepas tentera junta (Tatmadaw) berjaya menawan semula Hsipaw sehari sebelumnya, yang membuka ruang untuk mereka melancarkan serangan darat ke arah Namtu.
“Tatmadaw kini boleh mara ke Namtu melalui dua laluan utama, tetapi selepas jambatan Moe Tay musnah, laluan dari Hsipaw tidak lagi boleh digunakan,” katanya.
Kumpulan TNLA sebelum ini melancarkan operasi besar-besaran dikenali sebagai “Operasi 1027” bersama sekutunya dalam pakatan utara, menawan beberapa bandar seperti Namtu, Kyaukme, Hsipaw, Naungcho dan Kutkai.
Sebagai tindak balas, Tatmadaw melancarkan serangan darat dan udara bagi merampas semula kawasan itu, termasuk kejayaan menawan Naungcho pada 16 Julai, Kyaukme pada 1 Oktober dan Hsipaw pada 17 Oktober.
Sumber ketenteraan di Shan memaklumkan bahawa pertempuran masih berterusan dengan serangan udara dan artileri dilancarkan terhadap kubu TNLA, walaupun pasukan darat belum mencapai semua kawasan yang dikuasai kumpulan itu.
Wakil Tatmadaw dan TNLA dijangka bertemu di China hujung bulan ini bagi membincangkan penyelesaian politik.
Seorang penganalisis politik tempatan berkata TNLA perlu “berhenti melampaui batas” dan memberi ruang kepada rundingan.
“Pertempuran seperti di Kokang hanya merugikan kedua-dua pihak serta menjejaskan rakyat tempatan. China tidak mahu ketidakstabilan di sempadannya. TNLA perlu sedar keadaan ini dan menyesuaikan diri dengan perubahan politik yang bakal berlaku selepas pilihan raya akan datang,” katanya.










