Angka kematian akibat gempa bumi kuat berukuran 7.8 magnitud yang melanda luar pantai pulau Mindanao di selatan Filipina pada Isnin kini meningkat kepada sekurang-kurangnya 32 orang.
Pihak berkuasa bencana melaporkan puluhan lagi cedera ketika Manila mempergiat operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Gempa bumi yang mencetuskan amaran tsunami di beberapa buah negara itu berlaku pada awal pagi sekitar 20 kilometer dari pantai wilayah Sarangani.
Gegaran kuat turut dirasai di seluruh Mindanao sehingga ke bandar Manado di Pulau Sulawesi, Indonesia yang terletak sejauh 420 kilometer.
Penduduk di kawasan paling teruk terjejas, General Santos City, menyifatkan bencana itu sebagai pengalaman paling menakutkan yang pernah mereka lalui.
"Ini kali pertama saya mengalami gegaran sekuat itu sehingga saya tidak dapat menahan air mata. Saya terus terfikir tentang anak-anak dan anak saudara saya, apa akan jadi jika sesuatu menimpa mereka?" kata Jojo Calma, 44, seorang pemandu teksi roda tiga yang menyaksikan sebuah bangunan runtuh di hadapannya.
Kerajaan tempatan turut mengeluarkan klip video yang memaparkan detik cemas struktur sebuah restoran makanan segera runtuh, sekali gus mencetuskan panik dalam kalangan orang ramai yang lari bertempiaran untuk menyelamatkan diri ketika debu tebal mula memenuhi ruang udara.
Filipina kini telah menggerakkan pasukan tentera dan tindak balas bencana bagi mengesahkan laporan awal mengenai 32 mangsa yang terkorban serta 134 yang cedera di seluruh Mindanao, kebanyakannya berpunca daripada serpihan bangunan yang runtuh dan kejadian tanah runtuh.
Amaran tsunami bagaimanapun ditarik balik selepas lebih enam jam dikeluarkan di selatan Filipina, utara Indonesia dan Sabah, Malaysia.
Presiden Ferdinand Marcos Jr mengarahkan agensi berkaitan untuk segera menyediakan bekalan bantuan, pusat pemindahan, serta bersiap sedia untuk operasi menyelamat.
"Kerajaan pusat sedang bergerak aktif dan kita tidak akan membiarkan Mindanao ketinggalan dalam menerima bantuan," tegas Marcos dalam satu kenyataan rasmi.
Setakat ini, agensi seismologi Filipina melaporkan lebih 200 gempa susulan telah direkodkan, dengan sekurang-kurangnya sembilan daripadanya merupakan gegaran kuat termasuk yang tertinggi berukuran 6.7 magnitud.
Di Indonesia, ombak tsunami berketinggian 0.75 meter dikesan di beberapa wilayah di Sulawesi Utara, sekali gus memaksa penduduk di kawasan terpencil seperti Kepulauan Sangihe berpindah ke kawasan yang lebih tinggi untuk keselamatan.














