Pertempuran Thai-Kemboja belum ada tanda surut
Laporan media di kedua-dua belah pihak dilihat saling menuding jadi antara satu sama lain mengenai siapa yang masih berdegil mahu meneruskan serangan.
Pertempuran antara Thailand dan Kemboja, yang kini telah berlarutan lebih seminggu, masih belum menunjukkan tanda-tanda ia mungkin surut, walaupun terdapat usaha untuk kedua-dua pihak mencapai gencatan senjata.
Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul pada Ahad mendedahkan nota yang diterimanya oleh Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim, di mana ia tidak memberi sebarang jaminan mengenai cadangan gencatan senjata pada jam 10 malam.
Laporan The Phom Penh Post memetik jawapan balasnya yang dikongsi di Facebook, di mana Anutin berkata Thailand tidak pernah bersetuju untuk menghentikan operasi ketenteraan pada waktu tersebut.
Anutin berkata kenyataan Anwar tidak menyebut tentang gencatan senjata, sebaliknya hanya mencadangkan supaya sebarang provokasi dihentikan bermula jam 10 malam.
Perdana Menteri sementara Thai itu berkata perkara tersebut membuktikan tiada pelan atau persetujuan oleh kerajaan Thailand untuk menghentikan operasi tempur, sambil menegaskan komitmen negaranya untuk mempertahankan kedaulatan wilayah dan keselamatan rakyat.
“Thailand kekal dengan pendirian kami untuk menjaga, melindungi dan mempertahankan integriti tanah air dan rakyat kami walau apa juga harganya,” kata Anutin dalam hantara tersebut.
Kenyataan Anutin itu dibuat susulan cadangan Anwar pada 13 Disember supaya Thailand dan Kemboja menghentikan pertempuran menjelang jam 10 malam.
Gesaan itu hadir susulan perbualannya dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, yang turut menggesa gencatan senjata dan supaya kedua-dua pihak mematuhi Perjanjian Damai 26 Oktober yang ditandatangani di Kuala Lumpur.
Laporan media Kemboja menyatakan cadangan itu telah diterima Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dengan cepat, hanya dalam tempoh kurang 30 minit.
Bagaimanapun, Angkatan Tentera Thailand — melibatkan Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara Diraja Thailand — mendakwa Kemboja tidak menghentikan serangan seperti yang didakwa.
Laporan media Thai, The Nation, mendakwa tembakan roket BM-21 dan artileri ke kawasan sempadan Thailand masih berterusan sepanjang malam.
Dalam taklimat bersama, pihak tentera berkata dron pengawasan Kemboja turut dikesan memasuki ruang udara Thailand dan telah dipintas, selain tembakan dipertingkat sekitar jam 4 pagi di kawasan Si Sa Ket dan lokasi lain.
Jurucakap tentera laut berkata Thailand tidak menolak rundingan, namun menegaskan tindakan bermusuhan perlu dihentikan terlebih dahulu bagi membolehkan rundingan dibuat.
Tentera Darat pula memaklumkan kawasan Prasat Khana di wilayah Surin kini berada di bawah kawalan penuh Thailand, sambil mendakwa tapak bersejarah itu digunakan sebagai pangkalan ketenteraan oleh Kemboja, sekali gus melanggar prinsip perlindungan tapak warisan.
Tentera Thailand turut mengemukakan anggaran korban, mendakwa 221 anggota tentera Kemboja terbunuh sejak pertempuran bermula pada 8 Disember, selain memusnahkan puluhan pangkalan dan aset ketenteraan.
Sementara itu, Tentera Laut memaklumkan pasukan Thailand telah mengambil semula kawalan ke atas Ban Cham Rat di wilayah Trat, dengan perintah berkurung dilaksanakan atas faktor keselamatan awam, sambil menegaskan operasi ketenteraan akan diteruskan bagi mengekang ancaman berterusan di sempadan.