Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengakui negara itu menyokong kumpulan bersenjata di Gaza yang menentang kumpulan pejuang Palestin Hamas, susulan kenyataan bekas menteri bahawa Israel memindahkan senjata kepada kumpulan tersebut.
Media Israel dan Palestin melaporkan kumpulan yang bekerjasama dengan Israel ini berasal daripada suku Badwi tempatan diketuai Yasser Abu Shabab.
Pusat kajian European Council on Foreign Relations (EFCR) menggambarkan Abu Shabab sebagai ketua "kumpulan jenayah beroperasi di wilayah Rafah yang dituduh merompak trak bantuan".
Ahli Knesset dan bekas menteri pertahanan Avigdor Liberman sebelum ini memberitahu penyiar awam KAN bahawa kerajaan, atas arahan Netanyahu, "memberi senjata kepada kumpulan penjenayah".
"Apa yang dibocorkan Liberman? Bahawa sumber keselamatan mengaktifkan puak di Gaza yang menentang Hamas? Apa yang buruk tentang itu?" soal Netanyahu dalam video di media sosial pada hari Khamis.
"Ia baik, menyelamatkan nyawa askar Israel."
Hubungan kumpulan jenayah
Michael Milshtein, pakar hal ehwal Palestin di Pusat Moshe Dayan, Tel Aviv, memberitahu AFP puak Abu Shabab berasal daripada suku Badwi yang merentasi sempadan Gaza dan Semenanjung Sinai, Mesir.
Katanya, sebahagian anggota suku terlibat dalam "pelbagai aktiviti jenayah seperti penyeludupan dadah".
Milshtein menyatakan Abu Shabab pernah dipenjara di Gaza dan ketua puaknya baru-baru ini mengecamnya sebagai "kolaborator Israel dan samseng".
"Nampaknya Shabak (agensi keselamatan Israel) atau tentera anggap ia idea baik menjadikan militia yang sebenarnya samseng ini sebagai proksi, memberi mereka senjata, wang dan perlindungan" daripada operasi tentera, jelasnya.
Hamas dilaporkan membunuh empat anggota kumpulan ini beberapa hari lalu.
EFCR melaporkan Abu Shabab "pernah dipenjara Hamas kerana penyeludupan dadah, manakala abangnya dibunuh Hamas ketika serangan terhadap konvoi bantuan PBB".
Israel kerap menuduh Hamas merompak konvoi bantuan di Gaza.
Hamas menyatakan kumpulan ini "memilih pengkhianatan dan rompakan sebagai jalan", dan menyeru orang awam menentang mereka.
Pergerakan itu mendakwa mempunyai bukti "penyelarasan jelas antara kumpulan perompak, kolaborator si penjajah (Israel) dan tentera musuh dalam merompak bantuan serta mencipta krisis kemanusiaan yang memburukkan penderitaan" rakyat Palestin.
Pasukan Popular, sepertimana kumpulan Abu Shabab menggelar diri mereka, menafikan di Facebook mereka "tidak pernah dan tidak akan menjadi alat penjajah", menyatakan senjata mereka "ringkas, ketinggalan zaman dan diperoleh melalui sokongan rakyat".
Milshtein mengkritik keputusan Israel mempersenjatai kumpulan seperti ini sebagai "fantasi, bukan strategi sebenar", berharap ia "tidak berakhir dengan malapetaka".
Pada November 2023, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu dan bekas menteri pertahanan Yoav Gallant atas jenayah perang dan kemanusiaan di Gaza.
Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkaitan jenayah perang terhadap orang awam di wilayah tersebut.







