Malaysia kekal di Majlis IMO untuk penggal 2026–2027

Ini merupakan penggal ke-11 berturut-turut Malaysia mengekalkan kerusi Kategori C, mengatasi saingan daripada 25 negara lain termasuk Arab Saudi, Afrika Selatan, Mesir, Mexico, Nigeria, Türkiye, Indonesia, Thailand dan Singapura.

By
Ini merupakan penggal ke-11 berturut-turut Malaysia mengekalkan kerusi Kategori C. / Foto: FB MOT / Other

Malaysia berjaya mengekalkan kedudukan dalam Majlis Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) bagi penggal 2026–2027 selepas meraih 129 undi, sekali gus berada di tangga ke-13 daripada 20 kerusi dipertandingkan pada Sesi Agung IMO ke-34, lapor Bernama.

Kementerian Pengangkutan memaklumkan ini merupakan penggal ke-11 berturut-turut Malaysia mengekalkan kerusi Kategori C, mengatasi saingan daripada 25 negara lain termasuk Arab Saudi, Afrika Selatan, Mesir, Mexico, Nigeria, Türkiye, Indonesia, Thailand dan Singapura.

Menurut kementerian itu, sokongan konsisten daripada negara anggota — dengan 128 undi pada 2021, 134 undi pada 2023 dan 129 undi pada 2025 — menggambarkan keyakinan terhadap peranan aktif Malaysia sebagai rakan maritim yang boleh diyakini, komited kepada keselamatan maritim, perlindungan alam sekitar serta pembangunan kapasiti global.

Kejayaan ini turut didorong kerjasama erat antara Kementerian Pengangkutan, Wisma Putra, Jabatan Laut Malaysia, pihak berkuasa pelabuhan dan pemain industri maritim, yang memastikan Malaysia terus diiktiraf sebagai rakan konstruktif dalam komuniti maritim antarabangsa.

Dengan mandat baharu ini, Malaysia akan memperkukuh penyertaan dalam program pembangunan kapasiti melalui IMO Integrated Technical Cooperation Programme (ITCP), termasuk menawarkan kepakaran teknikal, latihan profesional dan pembangunan modal insan kepada negara membangun, negara kurang membangun (LDCs) dan negara pulau kecil (SIDS).

Malaysia juga komited meningkatkan penglibatan dalam jawatankuasa utama IMO seperti Maritime Safety Committee, Marine Environment Protection Committee, Legal Committee, Technical Cooperation Committee dan Facilitation Committee, bagi memastikan suara Malaysia terus relevan dalam tadbir urus maritim global.