Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memulakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Kedah dan Perlis pada Ahad bagi menangani penyusutan paras air di beberapa empangan utama yang kini berada pada tahap kritikal.
Operasi yang bermula dari Pangkalan Udara Subang itu memfokuskan kepada kawasan tadahan air di utara tanah air yang terjejas teruk akibat cuaca panas dan kering berpanjangan.
Dalam operasi hari pertama tersebut, pesawat membawa larutan garam mula melakukan semburan di Empangan Beris sekitar jam 2.35 petang sebelum diteruskan ke Empangan Muda, Empangan Pedu dan Empangan Ahning di Kedah.
Sebanyak tiga tangki larutan garam digunakan khusus untuk kawasan Kedah, manakala satu tangki lagi dilepaskan di kawasan Empangan Timah Tasoh di Perlis bagi merangsang pembentukan hujan di zon berkenaan.
“Operasi pembenihan awan pada (Ahad) berakhir pada pukul 3.20 petang. Secara umum, terdapat kehadiran awan Kumulonimbus atau Kumulus Menara yang sesuai untuk dibuat pembenihan dan turut kelihatan di sepanjang kawasan sasaran OPA pada kali ini,” kata NADMA dalam satu kenyataan.
Menurut data teknikal daripada radar Quantitative Precipitation Estimation (QPE), pola taburan hujan dikesan berlaku di hampir kesemua lokasi empangan sasaran beberapa jam selepas pembenihan dilakukan.
Berdasarkan laporan NADMA, hujan mula direkodkan di Empangan Ahning seawal jam 3.00 petang, diikuti oleh Empangan Muda dan Pedu pada jam 4.00 petang.
Sementara itu, Empangan Beris dan Timah Tasoh pula mula menerima taburan hujan antara jam 5 petang hingga 8 malam, memberikan sedikit kelegaan kepada pengurusan sumber air di kedua-dua negeri tersebut.
Pihak berkuasa mengesahkan pelaksanaan OPA hari pertama di wilayah utara itu berjaya mencapai objektifnya dengan menurunkan hujan tepat di kawasan sasaran.
Usaha ini merupakan sebahagian daripada strategi mitigasi kerajaan bagi memastikan kelangsungan bekalan air domestik dan pertanian tidak terputus sepanjang fasa cuaca ekstrem ini.













