Malaysia kini muncul sebagai salah satu hab pembuatan kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor utama di rantau Asia, didorong oleh gelombang pelaburan antarabangsa yang pesat, menurut laporan Bloomberg.
Kemasukan modal berskala besar ke negeri-negeri seperti Sarawak, Johor dan Pulau Pinang telah merancakkan pertumbuhan ekonomi negara di tengah-tengah ketidaktentuan perdagangan global serta ketegangan geopolitik di rantau lain.
Pelabur antarabangsa semakin memilih Malaysia berikutan ekosistem perindustrian yang kukuh dan persekitaran yang kondusif.
Joel William, pengasas syarikat perunding kejuruteraan Medhini Group Sdn Bhd, mengesahkan peningkatan permintaan daripada pihak industri yang mahu memperluaskan kapasiti pengeluaran mereka di negara ini.
"Pelanggan kini menggandakan kapasiti mereka apabila pelaburan terus mencurah masuk daripada sektor semikonduktor hingga peranti perubatan. Malaysia dilihat sebagai sebuah negara berkecuali," kata William.
Menurut laporan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Malaysia kini tergolong antara empat pengeksport bersih perkakasan berkaitan AI terbesar di dunia bersama Korea Selatan, Taiwan dan Thailand.
Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara turut mengatasi ramalan awal dengan mencatatkan peningkatan 5.8 peratus pada suku kedua, didorong oleh permintaan domestik yang kukuh serta lonjakan eksport barangan elektrik dan elektronik.
Gergasi teknologi global seperti Infineon Technologies AG, Nvidia Corp dan ByteDance Ltd melabur berbilion dolar untuk membina hab cip dan kemudahan pemprosesan data.
Di Pulau Pinang, projek pembangunan Silicon Island dijangka terus menarik minat pembuat semikonduktor berprestij.
Justin Chin, Pengarah Urusan Gamuda Engineering, menekankan kelebihan daya saing negara.
"Tesis pelaburan untuk Malaysia masih amat munasabah memandangkan tenaga kerja berkemahiran yang fasih berbahasa Inggeris serta kos yang lebih rendah,” katanya.
Kebangkitan sektor teknologi tinggi ini turut memberi limpahan ekonomi kepada industri pembinaan, kejuruteraan dan perkhidmatan tempatan, sekali gus mengekalkan kadar pengangguran di paras rendah sekitar 3 peratus.
Pengarah Pelaburan Areca Capital Sdn Bhd, Ch'ng Cheng Siew, turut menyuarakan nada optimis terhadap prospek jangka panjang negara.
"Pelaburan yang masuk sejak beberapa tahun kebelakangan ini akan diterjemahkan kepada output perindustrian. Itulah sebabnya saya agak positif," jelas Ch'ng.
Walaupun berdepan cabaran ekonomi global dan penyesuaian dasar fiskal tempatan, prospek jangka sederhana Malaysia kekal disokong oleh pelaburan sektor swasta dalam infrastruktur AI.
Langkah memperkasakan ekosistem bernilai tinggi ini dijangka terus memperkukuh daya saing antarabangsa dan mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi negara di rantau ini.




















