BISNES & TEKNOLOGI
2 min membaca
AI dijangka sumbang RM20 bilion setahun kepada KDNK menjelang 2030 – Gobind
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata, unjuran itu membuktikan AI kini mula menunjukkan nilai ekonomi ketara dengan jangkaan tambahan antara 0.8 hingga 1.2 mata peratusan kepada pertumbuhan KDNK setiap tahun.
AI dijangka sumbang RM20 bilion setahun kepada KDNK menjelang 2030 – Gobind
Ekonomi digital yang dipacu AI telah menyumbang lebih 23 peratus kepada KDNK negara tahun lalu, mencecah nilai ekonomi melebihi RM450 bilion. (FAIL) / Reuters

Teknologi kecerdasan buatan (AI) dijangka menyumbang antara RM13 bilion hingga RM20 bilion setahun kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menjelang tahun 2030, menurut laporan BERNAMA.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata, unjuran itu membuktikan AI kini mula menunjukkan nilai ekonomi ketara dengan jangkaan tambahan antara 0.8 hingga 1.2 mata peratusan kepada pertumbuhan KDNK setiap tahun.

Menurut beliau, ekonomi digital yang dipacu oleh AI telah menyumbang lebih 23 peratus kepada KDNK negara tahun lalu, mencecah nilai ekonomi melebihi RM450 bilion.

"Ini bukan sekadar unjuran terpencil. Ia memberi isyarat peralihan struktur di mana AI bukan lagi elemen sampingan, sebaliknya menjadi teras kepada produktiviti, daya saing dan pertumbuhan nasional," katanya dalam ucapan pada Persidangan Antarabangsa Belia 2026 (ICYouth) ke-5 di Universiti Putra Malaysia (UPM) yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Digital Wilson Ugak Kumbong.

Gobind turut mengumumkan bahawa kementeriannya akan melancarkan Inisiatif Inovasi Kerajaan (GII) tidak lama lagi.

Platform itu bertujuan mendedahkan masalah sebenar sektor awam untuk diselesaikan oleh para inovator, penyelidik dan golongan belia melalui teknologi baharu termasuk AI.

"GII bukan sekadar mengenai inovasi, tetapi inovasi yang berpandu. Ia memastikan eksperimen berlaku dalam kerangka yang betul, di mana idea boleh diuji, diperhalusi dan diperluaskan secara bertanggungjawab," jelas beliau.

Tambahnya lagi, institusi seperti UPM memainkan peranan kritikal dalam menyediakan kepakaran teknikal serta persekitaran penyelidikan bagi menyokong inisiatif tersebut.

Gobind turut menegaskan bahawa impak jangka panjang AI amat bergantung kepada bagaimana ia dibangunkan dan digunakan oleh generasi muda.

"Akhirnya, masa depan AI tidak ditentukan oleh teknologi semata-mata, tetapi oleh nilai yang kita terapkan di dalamnya. Sistem yang direka dan data yang digunakan oleh belia hari ini akan mempengaruhi keputusan serta kehidupan sebenar," tegas beliau lagi.