Malaysia sedang melangkah ke fasa pelaksanaan Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS) dengan pelancaran SemiconStart Malaysia.
Inisiatif serantau itu direka khusus bagi memperkasakan inovasi serta melahirkan lebih banyak syarikat semikonduktor tempatan yang mampu bersaing di peringkat global.
Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata pelancaran tersebut merupakan satu anjakan penting dalam menterjemahkan cita-cita negara untuk masa depan industri teknologi tinggi, menurut laporan New Straits Times.
"Hari ini menandakan peralihan penting daripada strategi kepada pelaksanaan. SemiconStart Malaysia memperlihatkan usaha kolektif untuk memperkukuh laluan bagi inovasi, pengkomersialan dan pembangunan teknologi," jelas beliau semasa majlis pelancaran tersebut.
Inisiatif yang sebelum ini diumumkan dalam Belanjawan 2026 itu bakal bertindak sebagai pemangkin strategik untuk menyokong syarikat pemula (startup) semikonduktor.
Antara bantuan yang disediakan termasuk program mentor, akses kepada rangkaian dana global, kemudahan alatan prototaip serta sokongan pengkomersialan yang menyeluruh.
Menurut Amir Hamzah, sektor-sektor strategik seperti elektrik dan elektronik (E&E)—terutamanya semikonduktor—telah lama menjadi tulang belakang kepada asas ekonomi Malaysia yang kukuh.
Katanya, melalui ekosistem yang mantap, teknologi ini terbukti mampu memacu daya saing negara ke tahap yang lebih tinggi.
"Matlamat kita jelas. Kita mahu Malaysia dikenali bukan sahaja sebagai peserta yang dipercayai dalam rantaian nilai teknologi global, tetapi juga sebagai sumber inovasi, harta intelek dan menempatkan syarikat teknologi yang kompetitif di persada antarabangsa," tambah beliau.









