China nafi perdagangan pertahanan dengan Kemboja, Thailand ada kaitan konflik sempadan
Menurut Jiang, China telah lama menjalankan kerjasama pertahanan dengan Kemboja dan Thailand, termasuk dalam aspek perdagangan pertahanan.
China menegaskan kerjasama pertahanannya yang telah lama terjalin dengan Kemboja dan Thailand, termasuk perdagangan senjata, tidak mempunyai kaitan dengan konflik sempadan yang tercetus antara kedua-dua negara itu baru-baru ini, lapor China Daily.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Negara China Jiang Bin berkata demikian dalam satu kenyataan pada Khamis sebagai respons kepada laporan media yang mendakwa tentera Thailand merampas peluru berpandu antikereta kebal, pelancar roket dan peralatan buatan China dari kedudukan tentera Kemboja semasa konflik berkenaan.
Menurut Jiang, China telah lama menjalankan kerjasama pertahanan dengan Kemboja dan Thailand, termasuk dalam aspek perdagangan pertahanan.
Beliau menegaskan kerjasama itu tidak ditujukan kepada mana-mana pihak ketiga, mematuhi sepenuhnya undang-undang dan amalan antarabangsa, serta tidak ada kaitan dengan konflik sempadan Kemboja-Thailand.
“Kami berharap pihak berkaitan tidak membuat andaian subjektif atau memperbesar-besarkan isu ini dengan niat jahat,” katanya.
Sebagai jiran yang bersahabat dengan kedua-dua negara, Jiang berkata China memantau rapat perkembangan konflik tersebut dan merasa amat sedih dengan korban yang berlaku.
Tegasnya, Beijing akan terus menggalakkan rundingan damai dan memainkan peranan konstruktif bagi mencapai gencatan senjata serta memulihkan keamanan di kawasan sempadan.