Filipina lanjut larangan import beras hingga hujung tahun

Keputusan itu dibuat selepas mendapati larangan import tidak memberi kesan ketara terhadap harga runcit dan bekalan beras.

(FAIL) Menurut Marcos, keputusan itu dibuat selepas mendapati larangan import tidak memberi kesan ketara terhadap harga runcit dan bekalan beras. / AP

Presiden Ferdinand Marcos Jr. meluluskan lanjutan larangan import beras hingga akhir tahun ini bagi menstabilkan harga padi, menurut laporan Inquirer yang memetik Setiausaha Pertanian Francisco Tiu Laurel Jr pada Ahad.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas mendapati larangan import tidak memberi kesan ketara terhadap harga runcit dan bekalan beras, namun memberi impak besar kepada harga padi palay.

“Presiden Marcos menganggap ada keperluan untuk melanjutkan penggantungan ini selama dua bulan lagi,” kata Laurel dalam kenyataan.

Larangan import beras biasa dan beras hancur telah berkuat kuasa sejak 1 September melalui Perintah Eksekutif No. 93 dan sepatutnya berakhir pada 31 Oktober.

Langkah itu diambil bagi menangani kejatuhan mendadak harga padi menjelang musim menuai.

Selepas pelaksanaan dasar itu, harga padi di wilayah utama pengeluar seperti Isabela dan Nueva Ecija meningkat kepada 13 hingga 14 peso sekilogram, berbanding serendah 8 peso sebelum larangan dikuatkuasakan.

Namun, kenaikan itu dilihat mula menurun semula menjelang tamat tempoh moratorium.

Laporan Jabatan Pertanian Filipina menunjukkan harga tertinggi dicatat antara 8 hingga 12 September pada paras 16.50 peso sekilogram sebelum susut kepada sekitar 13.50 peso pada pertengahan bulan.

Kos pengeluaran kini dianggarkan antara 12 hingga 14 peso sekilogram — masih di bawah harga lantai 17 peso sekilogram yang disasarkan kerajaan untuk padi palay basah.

Sementara itu, beberapa kumpulan pertanian menggesa kerajaan menaikkan tarif import beras secara berperingkat kepada 35 peratus bagi melindungi petani tempatan dan mengekang lambakan beras import di pasaran.