PERANG GAZA
2 min membaca
AS label pengiktirafan Palestin oleh sekutu sebagai ‘lakonan’
Amerika Syarikat menyifatkan pengiktirafan negara Palestin oleh beberapa sekutu utamanya termasuk Britain, Australia dan Kanada sebagai lakonan semata- mata.
AS label pengiktirafan Palestin oleh sekutu sebagai ‘lakonan’
Benjamin Netanyahu berkata Israel akan memberi reaksinya sebaik beliau pulang dari Amerika Syarikat. / AP
22 September 2025

Washington mula menjauhkan diri daripada sekutunya dan menggandakan sokongan terhadap Israel, dengan menegaskan matlamatnya ialah utnuk pembebasan tebusan dan keselamatan Israel.

Amerika Syarikat menyifatkan pengiktirafan negara Palestin oleh beberapa sekutu utamanya termasuk Britain, Australia dan Kanada sebagai lakonan semata- mata.

“Fokus kami kekal pada diplomasi yang serius, bukan pada gerak-geri bersifat lakonan. Keutamaan kami jelas: pembebasan tebusan, keselamatan Israel, serta keamanan dan kemakmuran untuk seluruh rantau,” kata seorang jurucakap Jabatan Negara AS pada Ahad dengan syarat tidak dinamakan, sambil meletakkan kesalahan kepada Hamas.

Langkah itu hadir selepas perubahan bersejarah awal hari ini, apabila UK, Kanada, Australia dan Portugal secara rasmi mengiktiraf Palestin.

“Dalam menghadapi kengerian yang semakin menjadi-jadi di Timur Tengah, kami bertindak untuk memastikan kemungkinan keamanan dan penyelesaian dua negara terus dihidupkan,” kata Perdana Menteri Keir Starmer.

Perdana Menteri Kanada, Mark Carney pula menawarkan kerjasama untuk membina “satu janji masa depan yang aman buat negara Palestin dan negara Israel.”

Lebih banyak negara dijangka mengiktiraf Palestin semasa Perhimpunan Agung PBB (UNGA) tahun ini, termasuk Perancis, Belgium, Luxembourg, Malta, Andorra dan San Marino, sekali gus sebagai isyarat mengenepikan Israel dan juga Amerika Syarikat.

Kemarahan Israel

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata Israel akan memberi reaksinya sebaik beliau pulang dari Amerika Syarikat, selepas bertemu Presiden Donald Trump.

“Dan saya ada satu lagi mesej untuk anda: Ia tidak akan berlaku. Sebuah negara Palestin tidak akan ditubuhkan di sebelah barat Sungai Jordan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menteri Keselamatan Negara daripada sayap kanan, Itamar Ben-Gvir menyeru kerajaan Israel untuk merampas Tebing Barat yang diduduki dan melaksanakan “penghancuran sepenuhnya terhadap Pihak Berkuasa Palestin.”

Dalam catatan di X, Ben-Gvir berkata beliau akan mengemukakan cadangan merampas secara penuh Tebing Barat itu pada mesyuarat kabinet akan datang.

Sekitar tiga perempat daripada negara anggota PBB sudah pun mengiktiraf Palestin, termasuk Ireland, Sepanyol dan Norway yang mengumumkan pengiktirafan mereka pada tahun lalu.

SUMBER:TRT World & Agencies