Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dikatakan akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 jika beliau boleh merasmikan upacara menandatangani perjanjian damai antara Kemboja dan Thailand.
Pada 28 Julai 2025, gencatan senjata "serta-merta dan tanpa syarat" telah diumumkan berkuat kuasa pada tengah malam hari itu, selepas rundingan damai yang dianjurkan oleh Malaysia selaku pengerusi ASEAN 2025.
Penglibatan Trump dalam kewujudan gencatan senjata berlaku apabila beliau menyatakan akan menangguhkan perundingan perdagangan dengan kedua-dua negara sehingga pertempuran dihentikan. Pemimpin kedua-dua negara, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan ketika itu pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai, mengucapkan terima kasih kepada Trump atas campur tangannya.
Hun Manet turut mencadangkan Trump untuk Hadiah Keamanan Nobel untuk peranannya dalam menamatkan perang di seluruh dunia, termasuklah konflik Thai-Kemboja.
Sidang Kemuncak ASEAN pada 26-28 Oktober 2025 di Kuala Lumpur, akan mengalu-alukan kedatangan pembesar negara-negara ASEAN, Presiden China Xi JInping, Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva, dan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa.
Konflik antara Thailand dan Kemboja tercetus pada akhir Julai 2025 di sepanjang sempadan mereka yang dipertikaikan, terutamanya di kawasan sekitar Kuil Preah Vihear. Pertempuran sengit telah mengakibatkan sekurang-kurangnya 38 orang terbunuh dan kira-kira 300,000 orang dipindahkan daripada kedua-dua belah pihak.