Adidas baru-baru ini menamatkan kerjasama dengan Bella Hadid, seorang model Palestin-Amerika, dalam kempen iklan kasut sneaker terbaharunya dan menarik semula gambar model tersebut daripada iklannya susulan tekanan kerajaan Israel dan kumpulan pro-Israel di Amerika Syarikat.
Hadid lantang menentang pendudukan Israel di Palestin dan sering bersuara mengenai pembunuhan orang awam di Gaza ketika Israel terus menyerang wilayah itu dimana ia telah meragut lebih 39,000 nyawa.
Dalam iklan yang dipaparkan di papan iklan besar di bangunan-bangunan di New York City dan akaun media sosial Adidas, model Palestin-Amerika itu dilihat memakai sneaker SL72 retro yang baru dilancarkan Adidas.
Sneaker SL original, iaitu sebahagian daripada barisan ‘SL’ (Super Light) Adidas, direka sebagai pilihan sneaker ringan untuk atlet semasa Olimpik Munich 1972.
Dalam acara sukan mega di Jerman Barat itu, satu serbuan ke atas kuarters pasukan Israel oleh kumpulan Black September Palestin yang melibatkan tembak-menembak dengan pihak polis, mengakibatkan sebelas orang Israel terbunuh. Lima rakyat Palestin dan seorang pegawai dari Jerman turut terbunuh dalam kejadian itu.
Pengkritik Israel dengan pantas merujuk sejarah Adidas dan mendakwa pemilihan Hadid sebagai wajah kempen iklan itu adalah anti-Semitik dan “mungkin disengajakan,” suatu kaitan yang dibuat berdasarkan pandangan model terkenal itu terhadap perang Israel di Gaza.
Bella Hadid Menjadi Sasaran Berterusan
Ini bukan kali pertama model ini dituduh sebagai anti-Semitik.
Pada 2021, apabila Hadid menyertai laungan “From the river to the sea, Palestine will be free” di Instagram Live, akaun rasmi Israel di X (dahulu Twitter) menuduhnya menyokong untuk “membuang Yahudi ke laut”.
“Apabila selebriti seperti Bella Hadid menyokong untuk membuang orang Yahudi ke laut, mereka menyokong penghapusan negara Yahudi,” tulis ciapan tersebut.
Susulan kontroversi iklan kasut sneaker itu, akaun yang sama menggambarkan Hadid sebagai “seorang model separuh Palestin yang mempunyai sejarah menyebarkan anti-Semitisme dan menyeru keganasan terhadap rakyat Israel dan Yahudi. Dia dan bapanya kerap menyebarkan fitnah berdarah dan konspirasi anti-Semitik terhadap orang Yahudi,” menurut hantaran itu, dimana akaun Adidas turut ditag dengan simbol tanda tanya.
Hadid turut menjadi sasaran organisasi pro-Israel.
“Membiarkan dia melancarkan kasut untuk memperingati Olimpik apabila banyak darah orang Yahudi tertumpah adalah perbuatan ‘melampau’,” kata Sacha Roytman, ketua eksekutif Gerakan Melawan Anti-Semitisme.
Sejarah Gelap Adidas
Namun, sejarah gelap Adidas sudah lama didokumentasikan, khususnya hubungannya dengan parti Nazi pimpinan Hitler. Ramai atlet Jerman memakai kasut Dassler Adidas semasa Olimpik Berlin 1936 yang dianjurkan rejim Nazi Hitler sebagai tanda keunggulan atlet Arya kepada dunia.
Pada masa itu, pengasas bersama jenama itu, Adi dan Rudi Dassler, merupakan ahli parti Nazi yang menandatangani surat mereka dengan ucapan “Heil Hitler,” menurut Sneaker Wars oleh Barbara Smit, seperti yang dipetik dalam artikel Time Magazine.
Semasa Perang Dunia II, adik-beradik Dassler itu menghentikan perniagaan pembuatan kasut sneaker mereka untuk mengubah kilang mereka menjadi pengeluar Panzerchreck (Tank Terror) – senjata anti-kereta kebal yang direka untuk memusnahkan kereta kebal pihak Berikat.
Setakat ini, Adidas terus berdiam diri mengenai hubungannya dengan parti Nazi. Di laman web rasminya, syarikat pakaian sukan itu tidak menyebut sejarahnya sebelum tahun 1949, iaitu tahun ia ditubuhkan secara rasmi.
Kerugian selepas konflik dengan Kanye West
Hubungan syarikat multinasional ini dengan Nazi Jerman kembali mendapat perhatian pada 2022 selepas ia menamatkan kerjasama dengan rapper terkenal Kanye West atas komen anti-Semitiknya. West, yang kini dikenali sebagai Ye, menerima kritikan hebat kerana menulis, “Saya akan melakukan death con 3 ke atas ORANG YAHUDI… Kamu semua telah mempermainkan saya dan cuba menyisihkan sesiapa yang menentang agenda kamu,” pada Oktober 2022.
Adidas berkata pemutusan hubungan dengan West mengakibatkan kerugian $246 juta dalam suku pertama tahun itu, dengan keseluruhan pendapatannya jatuh sebanyak 1 peratus.
Pada Mac 2024, Adidas berkata ia akan menderma atau merancang untuk memberi lebih $150 juta kepada kumpulan yang melawan anti-Semitisme dengan menggunakan hasil daripada jualan stok Yeezy yang dibekukan, yang asalnya direka oleh West.
Namun, beberapa pengkritik menganggap tindakannya “terlalu lambat” dan menegaskan bahawa syarikat itu hanya bertindak dua minggu kemudian.
Dikecam dan dilabel sebagai “disengajakan” apabila iklan Bella Hadid dilancarkan, ramai yang menuduh Adidas tidak ‘belajar daripada kesilapan lalu’, manakala yang lain menyifatkan kempen itu sebagai “dirancang dan anti-Semitik sehingga sukar untuk dipercayai ia adalah kesilapan biasa”.
Hadid dilaporkan telah mengupah peguamnya untuk menyaman Adidas kerana kekurangan akauntabiliti awam. Menurut sumber yang dipetik laman web hiburan Amerika TMZ, dia berkata syarikat itu “menerajui kempen yang kejam dan merosakkan.”
Adidas menjawab kritikan iklan itu dengan menyatakan bahawa ia “melakukan kesilapan yang tidak disengajakan.”
“Kami sedar bahawa terdapat kaitan yang dibuat dengan peristiwa sejarah yang tragis - walaupun ini sama sekali tidak disengajakan - dan kami memohon maaf atas sebarang kekecewaan atau kesulitan,” kata syarikat itu dalam kenyataan, sambil mengumumkan bahawa mereka akan “mengubah suai baki kempen tersebut.”
“Kami juga memohon maaf kepada rakan-rakan kongsi kami, Bella Hadid, A$AP Nast, Jules Koundé, dan yang lain, atas sebarang kesan negatif terhadap mereka, dan kami sedang mengubah suai kempen tersebut,” menurut kenyataan itu.
Tuduhan melakukan Genosid
Kontroversi kempen iklan Bella Hadid muncul ketika Israel dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa.
Retorik pegawai Israel sepanjang perang yang menghancurkan Gaza kini telah membuat kiasan mengenai pembersihan etnik itu, antaranya oleh pemimpin tertinggi Israel sendiri termasuk Presiden Isaac Herzog, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, dan menteri-menteri ekstremis lain dalam kerajaan sayap kanan itu.
Pada 9 Oktober, dua hari selepas perang Israel di Gaza susulan operasi rentas sempadan Hamas di wilayah itu, Menteri Pertahanan Israel Yoav Gallant berkata, “Kami sedang melawan manusia haiwan,” sambil mengumumkan “kepungan penuh” ke atas wilayah tersebut, dan mengatakan pihak berkuasa Israel akan memotong bekalan elektrik serta menghalang makanan dan bahan bakar daripada memasuki wilayah tersebut.
Presiden Israel Isaac Herzog berkata, “Tidak ada orang awam yang tidak bersalah di Gaza,” pada 14 Oktober. Dua minggu kemudian, Perdana Menteri Israel Netanyahu memetik ayat daripada kitab sucinya dan mengatakan Israel tidak akan bersetuju untuk gencatan senjata di Gaza.
“Anda mesti ingat apa yang dilakukan Amalek kepada anda, itu kata dalam kitab suci kami,” kata Netanyahu, sambil menambah, “Kami ingat, dan kami sedang berjuang … askar kami adalah sebahagian daripada legasi pejuang Yahudi yang wujud sejak 3,000 tahun dahulu.”
Kini dalam bulan ke-10, perang Israel di Gaza telah mengusir lebih 2 juta rakyat Palestin dari kediaman mereka, membunuh lebih daripada 39,000 orang - majoritinya wanita dan kanak-kanak - serta mencederakan lebih 90,000 yang lain.
Kritikan Genosid atau Anti-Semitisme?
Perang Israel di Gaza kini mencetus kembali perdebatan lama mengenai definisi anti-Semitisme dan sama ada kritikan terhadap Israel adalah bersamaan dengan ucapan kebencian anti-Yahudi.
Netanyahu berulang kali menuduh pengkritik Israel dan dasar-dasarnya sebagai anti-Semitik sejak 7 Oktober dengan menggunakan retorik mengapikan untuk membandingkan mereka dengan kumpulan Nazi. Menurut beberapa pihak, ini boleh menjejaskan makna sebenar istilah itu.
Bella Hadid hanyalah salah seorang daripada ramai lagi yang terpaksa menanggung tuduhan tersebut, hanya kerana mereka menentang tindakan Israel di Gaza.
“Bukan setiap kritikan terhadap Israel adalah anti-Semitik,” kata Tom Segev, seorang sejarawan Israel, kepada agensi berita AP.
“Apabila anda mengatakan ia adalah kebencian anti-Semitik … anda mengambil semua legitimasi dari kritikan tersebut dan cuba untuk menghancurkan perdebatan.”

















