China tawar 20 juta yuan bantu Thailand, Kemboja pulih pasca konflik – PM Thai
Anutin menjelaskan tawaran itu dibuat kepada Thailand dan Kemboja, dan Thailand akan mempertimbangkannya selepas Menteri Luar Sihasak Phuangketkeow kembali untuk perbincangan lanjut.
Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Thailand, Anutin Charnvirakul, berkata China menawarkan bantuan sebanyak 20 juta yuan bagi membantu menangani kerosakan akibat konflik, menurut laporan The Nation.
Beliau menjelaskan tawaran itu dibuat kepada Thailand dan Kemboja, dan Thailand akan mempertimbangkannya selepas Menteri Luar Sihasak Phuangketkeow kembali untuk perbincangan lanjut.
Anutin berkata demikian ketika bercakap kepada media di Wing 6 Don Mueang (Lapangan Terbang Tentera 2) sebelum berlepas untuk lawatan rasmi ke tiga wilayah Thailand di sepanjang sempadan Kemboja, iaitu Buri Ram, Surin dan Amnat Charoen.
Beliau berkata keadaan kekal tenang susulan pelaksanaan gencatan senjata selama 72 jam yang dijadual berakhir pada jam 12 tengah hari, 30 Disember.
Menurutnya, setakat ini tiada laporan mengenai penggunaan dron namun, pihak berkuasa kekal dalam keadaan berjaga-jaga.
Beliau berkata kedua-dua pihak telah menghentikan serangan, tetapi menegaskan tahap kesiapsiagaan dan pertahanan tetap dikekalkan.
Mengulas lawatan Sihasak bagi mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Luar China, Wang Yi, Anutin berkata Sihasak telah berlepas semalam dan beliau dimaklumkan bahawa perbincangan tersebut berjalan dengan baik.
Beliau turut memaklumkan bahawa Sihasak dijangka memulakan rundingan dengan menteri luar Kemboja dalam masa terdekat.
Mengulas laporan bahawa China akan menyalurkan 20 juta yuan kepada Kemboja bagi tujuan pemulihan kerosakan perang, Anutin menegaskan Thailand turut menerima tawaran yang sama.
Beliau berkata keputusan sama ada untuk menerima bantuan itu akan dibuat selepas perbincangan lanjut, sambil menggesa orang ramai merujuk maklumat rasmi dan tidak terpengaruh dengan dakwaan di media sosial yang mempertikaikan sikap berkecuali China.
Sementara itu, mengenai kepulangan penduduk ke rumah masing-masing, Anutin berkata mereka mula kembali secara berperingkat ke kawasan yang disahkan selamat oleh pihak berkuasa.
Beliau merujuk Buri Ram, di mana jumlah mangsa pemindahan sebelum ini hampir 20,000 orang, namun berdasarkan laporan terkini, kira-kira 2,000 masih belum pulang.
Anutin menegaskan keselamatan kekal menjadi keutamaan kerajaan dan berharap keadaan terus bertambah baik.