Malaysia tidak menghadiri Sidang Kemuncak Keamanan Antarabangsa di Sharm el-Sheikh, Mesir semalam, selepas enggan memberikan sokongan penuh terhadap pelan damai Gaza yang diumumkan baru-baru ini.
Dalam kenyataan, Kementerian Luar (Wisma Putra) menjelaskan pendirian berhati-hati Malaysia berpunca daripada kegagalan pelan tersebut memasukkan prinsip asas yang menjadi teras dasar luar Malaysia terhadap Palestin.
“Malaysia tidak mengambil pendirian sebegitu, atau menyokong Pelan Damai tersebut sepenuhnya secara serta-merta. Ini kerana kita menilai Pelan Damai tersebut turut perlu mengandungi prinsip-prinsip dan aspek-aspek yang sering kita tekankan selama ini berhubung kepentingan-kepentingan bagi rakyat Palestin.
“Ini meliputi jaminan perlindungan untuk rakyat Palestin, bantuan kemanusian segera kepada rakyat Palestin, penamatan pejajahan Israel di Palestin, serta penubuhan Negara Palestin yang merdeka. Aspek-aspek ini sangat penting untuk keamanan berpanjangan di rantau Asia Barat. Malaysia akan terus memperjuangkan aspek-aspek ini,” menurut kenyataan itu.
Walaupun Malaysia menyambut baik perjanjian gencatan senjata fasa pertama antara Hamas dan Israel yang ditandatangani pada 9 Oktober lalu, Wisma Putra menegaskan ia hanyalah langkah awal untuk menghentikan “pembunuhan besar-besaran rakyat Palestin, kebuluran, dan kemusnahan akibat perang Israel di Gaza.”
Sidang kemuncak yang dianjurkan bersama oleh Amerika Syarikat dan Mesir itu menghimpunkan lebih 20 ketua negara dan kerajaan, termasuk Presiden AS Donald Trump dan Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi. Ia merupakan platform rasmi bagi menyokong pelan damai Gaza yang diumumkan pada 29 September.
Menurut Wisma Putra, Malaysia tidak termasuk dalam 24 negara yang dijemput menghadiri sidang tersebut, kerana jemputan hanya diberikan kepada negara yang memberikan “sokongan penuh dan tanpa syarat” terhadap pelan berkenaan ketika ia dilancarkan.
Walaupun fasa pertama gencatan senjata – yang melibatkan pemulangan tebusan Israel dan pembebasan tahanan Palestin – disambut baik di peringkat antarabangsa, Malaysia menegaskan bahawa punca utama konflik masih perlu ditangani.
“Kita sedia maklum Israel dan Hamas, dua pihak yang terkesan secara langsung dalam proses damai ini, tidak menghadiri Persidangan Antarabangsa tersebut,” jelas kenyataan itu lagi.













