Letupan kuat dengan bunyi seperti pesawat terbang rendah melintasi beberapa kawasan didengari di Caracas sekitar jam 2.00 pagi (0600 GMT) Sabtu, lapor seorang wartawan AFP.
Letupan itu berlaku selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, yang telah mengerahkan pasukan tugas tentera laut ke Caribbean, memberi amaran tentang kemungkinan berlakunya serangan darat ke atas Venezuela.
Bunyi letupan masih kedengaran sekitar jam 2.15 pagi, namun lokasi sebenar tidak dapat disahkan.
Trump pada Isnin berkata Amerika Syarikat telah menyerang dan memusnahkan sebuah kawasan yang didakwa digunakan oleh bot membawa dadah di Venezuela.
Pemimpin Republikan itu tidak menyatakan sama ada ia adalah operasi ketenteraan atau CIA, atau di mana serangan itu berlaku, sekadar menyebut bahawa ia berlaku “di sepanjang pesisir pantai”.
Serangan itu merupakan serangan darat pertama yang pernah direkodkan di bumi Venezuela.
Presiden Nicolas Maduro tidak mengesahkan atau menafikan serangan pada Isnin itu, namun pada Khamis berkata beliau terbuka untuk bekerjasama dengan Washington selepas beberapa minggu mendapat tekanan dari tentera Amerika Syarikat.
Pentadbiran Trump menuduh Maduro mengetuai kartel dadah dan berkata ia sedang memperketatkan tindakan terhadap penyeludupan. Namun, pemimpin berhaluan kiri itu menafikan sebarang penglibatan dalam perdagangan narkotik, sambil mengatakan Washington mahu menggulingkannya kerana Venezuela memiliki rizab minyak terbesar di dunia.
Washington telah meningkatkan tekanan terhadap Caracas dengan menutup ruang udara Venezuela secara tidak rasmi, mengenakan lebih banyak sekatan, serta mengarahkan kapal tangki yang sarat dengan minyak Venezuela disita.
Selama beberapa minggu, Trump membuat ancaman serangan darat ke atas kartel dadah di rantau itu, dengan mengatakan ia akan bermula “tidak lama lagi.”
Pasukan tentera Amerika Syarikat juga telah melaksanakan banyak serangan ke atas bot-bot di Laut Caribbean dan Lautan Pasifik timur sejak September, menyasarkan apa yang dikatakan Washington sebagai penyeludup dadah.
Namun begitu, pentadbiran itu tidak mengemukakan bukti bahawa bot-bot yang disasarkan terlibat dalam penyeludupan dadah, sekali gus mencetuskan perdebatan mengenai kesahihan operasi tersebut.
Aktiviti maritim yang membawa maut itu telah mengorbankan sekurang-kurangnya 107 orang dalam sekurang-kurangnya 30 serangan, menurut maklumat yang dikeluarkan oleh pihak tentera Amerika Syarikat.
Ini merupakan laporan semasa kejadian dan akan dikemas kini…















