Menteri-menteri luar ASEAN menggesa semua pihak mematuhi sepenuhnya terma yang dipersetujui dalam fasa pertama pelan damai Gaza yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump di Sharm El-Sheikh, Mesir.
Dalam satu kenyataan bersama, ASEAN menyambut baik persetujuan yang dicapai antara Hamas dan Israel di bawah “Comprehensive Plan to End the Gaza Conflict”, dengan matlamat menghentikan permusuhan secara kekal.
Menteri-menteri luar ASEAN turut memuji kepimpinan dan usaha berterusan Presiden Trump untuk menamatkan perang di Gaza serta menghargai peranan penting Mesir, Qatar, dan Turkiye dalam memudah cara rundingan serta pelaksanaan pelan damai tersebut.
“Perkembangan ini menandakan langkah penting ke arah menamatkan konflik, mencegah penderitaan dan kehilangan nyawa yang berterusan, memastikan pembebasan semua tebusan, serta membuka laluan kepada pembinaan semula Gaza dan hak penentuan nasib sendiri rakyat Palestin,” menurut kenyataan itu.
ASEAN turut menyeru masyarakat antarabangsa agar memanfaatkan momentum ini untuk meneruskan proses damai berasaskan penyelesaian dua negara, selaras dengan undang-undang antarabangsa serta resolusi Majlis Keselamatan dan Perhimpunan Agung PBB.
Kenyataan itu menegaskan keperluan untuk melaksanakan gencatan senjata secara kekal, memastikan bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa halangan, dan memulakan usaha pembinaan semula Gaza dengan segera bagi melindungi maruah serta kehidupan rakyat Palestin.














