Ekonomi Malaysia yang berkembang 6 peratus pada suku kedua 2026 mencerminkan kekuatan negara dalam mendepani ketidaktentuan geopolitik global, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata pencapaian itu perlu dilihat dalam perjalanan panjang tamadun negara, daripada kegemilangan dan kejatuhan Kesultanan Melaka, era penjajahan sehingga kemerdekaan dan pembentukan Malaysia.
“Dalam keadaan kemelut geopolitik yang tidak menentu, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kita masih berkembang. Bayangkan, tidak ada yang mengandaikan unjuran pertumbuhan yang begitu rupa,” katanya ketika menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Ahad.
“Alhamdulillah, suku kedua 2026, KDNK Malaysia berkembang 6 peratus,” katanya, sambil menambah bahawa pelaburan yang diluluskan dan jumlah perdagangan turut mencatat paras tertinggi dalam sejarah negara.
Menurut Anwar, kejayaan ekonomi semasa bukan hasil usaha dalam tempoh singkat, sebaliknya dibina atas asas yang dibentuk sejak negara mencapai kemerdekaan.
“Pencapaian ini hasil khidmat sejak merdeka dan tidak berhasil sekelip mata,” katanya.
Beliau berkata kerajaan MADANI memilih jalan untuk “membetulkan asas negara, memperkukuh tatakelola, mengembalikan disiplin fiskal, menutup ruang ketirisan” serta mempercepat kelulusan bagi meningkatkan keyakinan terhadap ekonomi negara.





















