Malaysia dan Indonesia bersetuju bekerjasama bagi mengurangkan kesan jerebu rentas sempadan yang menjejaskan kualiti udara negara-negara serantau, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata isu itu dibincangkan bersama Presiden Indonesia Prabowo Subianto ketika menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-18 di New Delhi, India, baru-baru ini.
“Ya, memang ada dibangkitkan... kita akan bekerjasama untuk mengurangkan kesan jerebu rentas sempadan,” katanya tanpa mengulas lanjut, seperti dipetik laporan Berita Harian.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis penyerahan rasmi Pelabuhan Bintulu daripada Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Sarawak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan penyerahan pelabuhan itu, Kerajaan Sarawak telah menyelesaikan bayaran RM1.8 bilion kepada Kerajaan Persekutuan pada 21 Jun bagi pemindahan hak milik, aset dan tanggungjawab berkaitan.
Pengurusan dan pentadbiran Pelabuhan Bintulu diambil alih secara rasmi oleh Sarawak pada 1 September, selepas penamatan Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu berkuat kuasa pada 31 Ogos.
Penyerahan rasmi disempurnakan Menteri Pengangkutan Anthony Loke kepada Timbalan Premier Sarawak Douglas Uggah Embas, disaksikan Anwar dan Premier Sarawak Abang Johari Abang Openg.
Peralihan pelabuhan Persekutuan itu kepada pelabuhan negeri merupakan antara perkembangan dalam pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).






















