Anwar: Perjanjian perdagangan Malaysia-AS ada 'exit clause'
Beliau berkata perjanjian itu bertujuan menarik pelaburan dan meningkatkan aliran dagangan antara kedua-dua negara.
Perjanjian timbal balik perdagangan antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) yang dimeterai baru-baru ini mengandungi klausa yang membolehkan negara menamatkan atau menarik diri secara sah, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat.
Beliau berkata perjanjian itu bertujuan menarik pelaburan dan meningkatkan aliran dagangan antara kedua-dua negara.
“Jangan kutuk seolah kita ini boneka AS, mana mungkin boleh cakap sedemikian rupa. Perjanjian perdagangan ini semuanya ada 'exit clause' (klausa untuk tamatkan perjanjian), kenapa kita tandatangani juga?
"Ini kerana kita perlu pelaburan dan perdagangan tinggi dengan AS, namun soal menyerah (kedaulatan kepada AS) itu tak timbul," katanya semasa Waktu Pertanyaan Perdana Menteri pada Khamis.
Anwar menegaskan, langkah kerajaan untuk menjalin hubungan baik dengan negara lain sering disalah tafsir, walhal ia dibuat demi kepentingan negara.
"Bila kita baik dengan China juga diserang, nampak baik dengan AS juga tak boleh, jadi nak baik dengan negara mana? Kelantan dan Kedah sahaja? Saya rayu rakan-rakan sebelah sini dan sana (pembangkang dan kerajaan), ini soal negara,” katanya.
Beliau menambah bahawa usahanya bukan bersifat peribadi, sebaliknya demi masa depan Malaysia.
“Saya bukan muda lagi, saya kerja sedaya upaya untuk dapat perhatian negara penting untuk faedah serta masa depan negara," tambahnya.