Gergasi perbankan Wall Street, Goldman Sachs, bersetuju membayar AS$500 juta bagi menyelesaikan saman yang difailkan oleh pemegang sahamnya, berikutan dakwaan menipu pelabur berhubung penglibatan bank tersebut dalam skandal rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Penyelesaian itu didedahkan oleh peguam yang mewakili kumpulan pemegang saham, diketuai oleh dana pencen Sweden, Sjunde AP-Fonden, menerusi satu dokumen pemfailan di Mahkamah Persekutuan Manhattan, New York, pada Rabu.
Sebelum ini, kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes tersebut pada bulan lalu, namun terma dan jumlah pampasan tidak diumumkan kepada umum.
"Penyelesaian ini merupakan satu keputusan yang luar biasa dan baik bagi kumpulan pemegang saham," jelas peguam plaintif dalam dokumen pemfailan tersebut.
Pemegang saham sebelum ini menuduh Goldman Sachs berbohong mengenai peranannya dalam salah laku berkenaan, selain sering mencanangkan kononnya mereka mempunyai sistem pengurusan risiko yang kukuh.
Mereka mendakwa harga saham bank itu merosot mendadak selepas pelabur menyedari bahawa Goldman "secara aktif memudahkan dan meraih keuntungan besar" daripada penipuan terbabit.
1MDB ditubuhkan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak bagi memacu pembangunan ekonomi negara dengan bantuan ahli perniagaan yang kini dalam buruan, Jho Low.
Pihak berkuasa AS dan Malaysia menganggarkan sebanyak AS$4.5 billion telah diselewengkan daripada dana itu, di mana Goldman Sachs membantu menjual bon bernilai AS$6.5 bilion dan mengaut yuran komisen sekitar AS$600 juta.
Penyelesaian terbaharu ini menambah senarai panjang liabiliti kewangan Goldman Sachs, selepas bank itu bersetuju membayar denda AS$2.9 bilion pada tahun 2020 bagi menyelesaikan siasatan jenayah oleh Jabatan Kehakiman AS (DOJ).
Seorang hakim di Brooklyn, New York secara rasmi menamatkan kes jenayah AS terhadap Goldman pada Mei 2024 selepas bank itu melengkapkan perjanjian penangguhan pendakwaan selama tiga tahun.
Seorang pegawai bank Goldman disabitkan kesalahan membantu menyeleweng dana 1MDB, manakala seorang lagi mengaku bersalah.















