Bekas Perdana Menteri Kemboja Hun Sen berkata hampir 99 peratus rakyat Kemboja kini memboikot produk keluaran Thailand, susulan apa yang disifatkannya sebagai “pencerobohan terhadap kedaulatan wilayah Kemboja”, lapor The Phnom Penh Post.
Namun beliau mengingatkan agar tindakan itu tidak berubah menjadi gerakan yang ekstrem atau tidak rasional.
Dalam satu kenyataan di media sosial, Presiden Senat itu berkata gelombang boikot semakin meningkat sejak kebelakangan ini, tetapi menegaskan beliau tidak menyokong tindakan melampau seperti membakar barangan Thailand yang menurutnya mencerminkan nasionalisme radikal, bukan semangat patriotik.
“Saya baru menonton video lapan minit oleh kumpulan yang diketuai KO1, yang mempromosikan pemusnahan produk Thai dan mencaci peniaga yang masih menjualnya. Jika benar mereka mahu membantu, lebih baik beli semua stok yang tinggal dan beri kepada haiwan daripada membakarnya,” katanya.
Hun Sen menyeru kumpulan tersebut menghentikan tindakan “gila” mereka dan sebaliknya mengutamakan “nilai moral, etika dan maruah negara”.
KO1, atau Khoeun Sola, ialah ketua sebuah portal berita tempatan yang sebelum ini pernah dipanggil pihak berkuasa untuk sesi “pendidikan” berhubung laporan bersifat hasutan.
Sementara itu, peniaga kosmetik di Pasar Orussey, Chenda, berkata jualan produk Thai merosot hampir sifar akibat ketegangan sempadan.
“Saya tidak menentang boikot, tetapi barang yang sudah diimport seharusnya digunakan dahulu,” katanya, sambil menambah ramai pengimport kini menanggung kerugian besar akibat stok yang tidak dapat dijual.












