PM Anwar nyatakan solidariti buat Turkiye susulan insiden peluru berpandu balistik
Perdana Menteri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau telah mengadakan perbualan telefon bersama Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan pada Khamis malam bagi membincangkan ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat.
Malaysia menzahirkan solidariti yang tidak berbelah bahagi kepada Turkiye susulan insiden peluru berpandu balistik yang menuju ke arah ruang udara negara itu, mencerminkan betapa rapuhnya keselamatan rantau itu ketika ini.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau telah mengadakan perbualan telefon bersama Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan pada Khamis malam bagi membincangkan ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat.
Menurut Anwar, siri serangan yang berlaku kini amat membimbangkan dan boleh menggugat kestabilan seluruh rantau tersebut.
Dalam perbualan yang sama, Anwar turut melahirkan kegusaran mendalam berhubung siri pembunuhan yang melibatkan beberapa pemimpin kanan Iran, termasuk Pemimpin Tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei.
“Menyentuh insiden pembunuhan beberapa pimpinan tertinggi Iran termasuk Almarhum Ali Khamenei, saya tegaskan bahawa peristiwa ini berisiko menjerumuskan Asia Barat ke dalam ketidaktentuan yang serius dan berpanjangan.
“Kami senada bahawa semua pihak perlu menunjukkan tahap kawalan diri dan kebijaksanaan tertinggi bagi mengelakkan keadaan daripada terus meruncing,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasmi beliau pada Jumaat.
Malaysia turut menyeru semua pihak menurunkan ketegangan dan menghentikan serangan yang berisiko mencetuskan ketidakstabilan lebih luas melangkaui Asia Barat.
“Pendekatan berteraskan dialog dan diplomasi mesti menjadi keutamaan,” tambah Anwar.
Menyentuh mengenai isu Palestin, Anwar merakamkan penghargaan kepada Turkiye dan beberapa negara lain yang lantang mengecam tindakan Israel meluaskan penempatan haram di Tebing Barat yang diduduki.
Tegas beliau, pendirian Malaysia kekal jelas bahawa tindakan rejim Zionis itu merupakan pencabulan nyata terhadap undang-undang antarabangsa.
Sementara itu, Anwar berkata beliau turut menghubungi Pemangku Perdana Menteri Afghanistan, Mullah Mohammad Hassan Akhund bagi membincangkan ketegangan yang semakin memuncak antara Afghanistan dan Pakistan ketika ini.
“Saya menegaskan bahawa kedua-dua negara perlu menahan diri serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan,” katanya. “Tindakan ketenteraan yang telah meragut ratusan nyawa di kedua-dua belah pihak mesti dihentikan segera.”