Pendekatan seimbang jadikan Malaysia jambatan antara blok ekonomi — Anwar
Anwar berkata strategi tersebut, yang berteraskan kerjasama serantau menerusi ASEAN serta platform seperti Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC), amat sesuai dalam menghadapi perdagangan global yang semakin berpecah dan tidak menentu.
Pendekatan seimbang Malaysia dalam mengekalkan hubungan baik dengan Amerika Syarikat dan China telah berjaya meletakkan negara sebagai jambatan penghubung antara pelbagai blok ekonomi di rantau ini, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim, menurut laporan Bernama.
Dalam kenyataan pada Khamis, Anwar berkata strategi tersebut, yang berteraskan kerjasama serantau menerusi ASEAN serta platform seperti Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC), amat sesuai dalam menghadapi perdagangan global yang semakin berpecah dan tidak menentu.
Terdahulu, Anwar yang tiba di Korea Selatan bagi lawatan kerja sempena Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM), menerima Laporan Tahunan 2025 Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) daripada pengerusi ABAC Malaysia Ruben Emir Gnanalingam.
Beliau berkata laporan itu akan diteliti bagi dimasukkan dalam perbincangan dasar sepanjang AELM, khususnya dalam memperjuangkan agenda kesejahteraan rakyat, keadilan ekonomi dan pembangunan serantau yang seimbang.
“Laporan ini menghimpunkan pandangan serta aspirasi komuniti perniagaan di seluruh ekonomi Asia-Pasifik untuk memperkukuh pertumbuhan inklusif dan mampan, meningkatkan daya saing perniagaan serta memastikan kemakmuran dapat dinikmati semua lapisan masyarakat. Seruan laporan ini untuk perdagangan terbuka berasaskan peraturan selaras dengan dasar Malaysia yang neutral dan pragmatik,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan dijadual menyampaikan kenyataan rasmi Malaysia dalam Dialog Pemimpin Ekonomi APEC bersama tetamu, menekankan kepentingan inklusiviti dalam memperkukuh rantaian bekalan, pembangunan ekonomi digital dan kerjasama serantau ke arah pembangunan mampan.
Malaysia merupakan antara 12 negara pengasas APEC bersama Australia, Brunei, Kanada, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Filipina, Singapura dan Thailand.
Pada masa ini, APEC merangkumi 21 ekonomi dengan jumlah penduduk hampir tiga bilion orang, mewakili 62 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia dan 48 peratus daripada perdagangan global pada 2021.