Kementerian Luar Negeri terus memantau rapat nasib rakyat Malaysia susulan banjir besar dan tanah runtuh yang melanda beberapa wilayah di Aceh, Sumatera Barat dan Sumatera Utara sejak akhir bulan lalu, menurut satu kenyataan rasmi.
Dalam perkembangan terbaharu, Wisma Putra mengesahkan tiga rakyat Malaysia berusia antara 63 hingga 64 tahun yang sebelum ini gagal dihubungi sejak 27 November lalu telah ditemui selamat dan dipindahkan dari kawasan yang terputus hubungan akibat banjir.
Mereka diterbangkan Tentera Udara Indonesia (TNI-AU) dari Lapangan Terbang Rembele di Takengon ke Medan dan tiba di Lapangan Terbang Kualanamu pada petang Rabu, dengan Konsulat Jeneral Malaysia di Medan kini menguruskan kepulangan mereka ke tanah air secepat mungkin.
Bagaimanapun, seorang lagi wanita warganegara Malaysia berusia 64 tahun masih belum dapat dihubungi dan usaha mengesan keberadaannya sedang giat diteruskan.
“Rakyat Malaysia yang mempunyai sebarang maklumat bagi membantu pengesanan beliau diminta segera menghubungi Konsulat Jeneral,” tegas kenyataan itu.
Dalam insiden berasingan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut diteruskan bagi mengesan seorang lagi rakyat Malaysia, Asrul Nizam Apridwson, 30, yang dilaporkan hilang dalam kejadian tanah runtuh di Padang Panjang, Sumatera Barat, pada 27 November.
Operasi yang memasuki hari ketujuh itu tertumpu di kawasan tebing sungai dan zon tanah runtuh berhampiran Jambatan Kembar, dengan Konsulat Jeneral Malaysia kekal berkoordinasi rapat bersama pihak berkuasa Indonesia serta memberi sokongan kepada keluarga mangsa yang berada di lokasi bagi urusan pengecaman dan prosedur diperlukan.
Sementara itu, Wisma Putra menasihatkan semua rakyat Malaysia di kawasan terjejas di Aceh, Sumatera Barat dan Sumatera Utara agar sentiasa berwaspada, mengikuti perkembangan terkini, serta mematuhi semua arahan dan panduan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan.
Keluarga di Malaysia yang gagal menghubungi ahli keluarga mereka di kawasan berkenaan digesa segera menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Medan melalui talian hotline 24 jam di +62 823-6164-6046 atau e-mel mwmedan@kln.gov.my untuk mendapatkan bantuan lanjut.















