Rundingan damai Thai-Kemboja bersambung, saling berbalas tuduhan

Pertempuran dilaporkan masih berterusan di lapangan dengan kedua-dua negara saling menuduh satu sama lain melanggar gencatan senjata pada Oktober lalu.

By
(FAIL) Orang ramai beratur mendapatkan makanan di sebuah pusat perlindungan sementara di wilayah Buriram, Thailand. / Reuters

Pegawai tentera Thailand dan Kemboja meneruskan rundingan pada Khamis, memasuki hari kedua perbincangan yang disahkan akan berlangsung selama tiga hari.

Rundingan dibuat beberapa hari selepas kedua-dua negara bersetuju membincangkan penyambungan semula gencatan senjata susulan pertempuran sengit selama 16 hari di kawasan sempadan.

Rundingan itu berlangsung dua hari selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar Asia Tenggara di Kuala Lumpur yang diadakan bagi menyelamatkan gencatan senjata yang dimeterai, yang sebelum ini diusahakan oleh Malaysia sebagai pengerusi ASEAN bersama Presiden Amerika Syarikat Donald Trump susulan pertempuran pada Julai lalu.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Thailand Laksamana Muda Surasant Kongsiri berkata mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) itu diadakan di sebuah pusat pemeriksaan di bahagian selatan sempadan sepanjang 817 kilometer dan berpotensi membuka laluan kepada satu perjanjian.

“Jika mesyuarat sekretariat berjalan lancar dan persetujuan dicapai, pertemuan antara menteri pertahanan kedua-dua negara akan diadakan pada 27 Disember,” katanya kepada pemberita.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja Maly Socheata berkata rundingan bermula pada jam 4.30 petang waktu tempatan, dipengerusikan oleh jeneral dari kedua-dua pihak, dan merupakan langkah paling signifikan sejak pertempuran kembali tercetus awal bulan ini.

Pertempuran dilaporkan masih berterusan di lapangan dengan kedua-dua negara saling menuduh satu sama lain melanggar gencatan senjata pada Oktober lalu.

Kemboja mendakwa Thailand menggunakan jet pejuang untuk mengebom wilayah Banteay Meanchey, manakala Thailand menuduh Kemboja menggunakan senjata berat yang menyasarkan kawasan awam di wilayah Sa Kaeo, menyebabkan tentera Thailand bertindak balas.

Menurut pihak berkuasa, sekurang-kurangnya 21 orang awam terbunuh di Kemboja dengan lebih setengah juta penduduk dipindahkan, manakala Thailand melaporkan sekurang-kurangnya 65 kematian dan lebih 150,000 orang dipindahkan.