Lapan rakyat Malaysia disahkan ditahan pasukan Israel selepas misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dipintas ketika dalam perjalanan membawa bantuan ke Gaza.
Menurut laporan Bernama, perkara itu disahkan oleh pusat kawalan misi Sumud Nusantara Coordination Centre (SNCC) yang memaklumkan mereka kehilangan komunikasi dengan 13 rakyat Malaysia di lima kapal GSF.
Antara yang berada di kapal terbabit ialah penyanyi Nur Fazelah Mad Tahil atau Zizi Kirana di kapal Huga, Norfarahin Romli (Farah Lee) di kapal Grande Blu serta beberapa aktivis lain termasuk Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khairudin dan Rusydi Ramli di kapal Sirius.
Status lima lagi rakyat Malaysia iaitu PU Rahmat, Norhelmi, Mohd Asmawi dan Norazman yang menaiki kapal Estrella, serta pelakon Ardell Aryana di kapal Mikeno masih belum dapat dipastikan.
Rakaman siaran langsung oleh aktivis kemanusiaan turut menunjukkan situasi tegang apabila kapal mereka dipintas dan dikepung tentera Israel yang mengarahkan mereka berpatah balik ketika menghampiri perairan Gaza.
Secara keseluruhan seramai 17 rakyat Malaysia menyertai misi tersebut, ditempatkan dalam beberapa kapal termasuk Grande Blu, Sirius, Huga, Alma, Estrella dan Mikeno.
Insiden ini berlaku ketika Israel berdepan tekanan antarabangsa yang semakin meningkat berhubung operasi ketenteraannya di Gaza.