Malaysia perbaharui lesen Lynas: Greenpeace suarakan kebimbangan kehadiran sisa radioaktif
Kilang Lynas di Gebeng, Pahang merupakan fasiliti pengeluaran nadir bumi komersial terbesar di luar China, membekalkan bahan kritikal bagi pembuatan kereta elektrik, telefon pintar, sehinggalah kepada aset ketenteraan.
Keputusan kerajaan Malaysia memperbaharui lesen operasi syarikat pemprosesan nadir bumi, Lynas, untuk tempoh 10 tahun lagi mengundang kritikan hebat oleh badan pemerhati alam sekitar, Greenpeace.
Kumpulan itu mendakwa langkah berkenaan masih gagal menyelesaikan isu pengurusan sisa radioaktif yang telah lama berlarutan.
Syarikat gergasi Australia itu mengesahkan pembaharuan lesen pada Isnin, namun ia tertakluk kepada syarat lebih ketat yang ditetapkan oleh Putrajaya.
Kilang Lynas di Gebeng, Pahang merupakan fasiliti pengeluaran nadir bumi komersial terbesar di luar China, membekalkan bahan kritikal bagi pembuatan kereta elektrik, telefon pintar, sehinggalah kepada aset ketenteraan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang menegaskan di bawah perjanjian terbaharu ini, Lynas diwajibkan menghentikan semua aktiviti yang menghasilkan sisa radioaktif dalam tempoh lima tahun.
Langkah ini bertujuan memastikan tiada lagi pengumpulan sisa berbahaya secara berterusan di Malaysia pada masa hadapan.
Walau bagaimanapun, Greenpeace Malaysia berhujah bahawa tindakan itu hanya sekadar "penyelesaian separuh jalan".
Mereka mempersoalkan tentang sisa radioaktif sedia ada yang telah lama bertimbun, selain memberi amaran bahawa lanjutan lesen itu berisiko menormalisasikan kelonggaran kawal selia terhadap bahan berbahaya demi kepentingan rantaian bekalan global.
Dari sudut ekonomi, penganalisis melihat keputusan itu sebagai pemacu keyakinan pelabur.
Qarrem Kassim dari Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia berpandangan bahawa walaupun syarat yang dikenakan jauh lebih ketat, persetujuan tersebut tetap dilihat sebagai satu bentuk "kompromi" antara kelestarian alam sekitar dan kestabilan bekalan industri.
Buat masa ini, sisa radioaktif sedia ada dirancang untuk disimpan di Fasiliti Pelupusan Kekal (PDF) yang dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.
Namun, Greenpeace terus mendesak agar pemantauan saintifik bebas dan ketelusan data dilaksanakan bagi menjamin keselamatan rakyat dan integriti tadbir urus alam sekitar negara.