Pemeteraian Program Strategik ASEAN-Rusia mengenai Kerjasama Perdagangan dan Pelaburan 2026-2035 menjadi pemangkin utama kepada lonjakan hubungan ekonomi kedua-dua pihak.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan pembentukan persekitaran yang kondusif adalah kunci utama bagi menterjemahkan pelan tindakan 10 tahun tersebut menjadi satu realiti yang membuahkan hasil.
Bercakap di Forum Perniagaan ASEAN-Rusia di Kazan, Anwar berkata rangka kerja dasar sahaja tidak mencukupi tanpa penglibatan aktif sektor swasta.
Forum yang dihadiri lebih 400 peneraju korporat dari Rusia dan Asia Tenggara itu disifatkan sebagai platform penting bagi membina rangkaian perniagaan serta menggerakkan kerjasama melangkaui retorik politik.
"Kerajaan boleh mewujudkan keadaan yang membantu; mereka boleh menetapkan dasar, menghapuskan halangan dan memudahkan kerjasama. Namun, perniagaan, pelabur, usahawan, penyelidik dan pakar inovasi yang akhirnya akan mengubah aspirasi ini menjadi hasil yang nyata," kata Perdana Menteri bagi menggesa penglibatan komuniti perniagaan.
Dalam pada itu, Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada Presiden Rusia Vladimir Putin atas sokongannya memperkukuh kerjasama sektor tenaga, khususnya melibatkan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) dan syarikat Rusia, Rosneft, menurut laporan BERNAMA.
Langkah ini dilihat strategik memandangkan Rusia merupakan antara pengeluar tenaga terbesar dunia, manakala nilai dagangan Malaysia-Rusia telah mencecah RM8.72 bilion pada tahun 2025.
Selain kerjasama tenaga dan ekonomi halal, Perdana Menteri memaklumkan bahawa Malaysia kini berada di peringkat akhir untuk memuktamadkan aturan liberalisasi visa dengan Moscow.
Langkah pemansuhan visa yang dijangka dilaksanakan tahun ini bukan sahaja bakal mempermudah pergerakan rakyat, malah dijangka melonjakkan sektor pelancongan serta ketersambungan udara antara bandar-bandar utama termasuk Kuala Lumpur, Moscow, dan Kazan.
"Marilah kita mengubah muhibah menjadi perkongsian, perkongsian menjadi projek, dan projek menjadi manfaat nyata bagi rakyat kita," ujar Anwar sebelum mengakhiri lawatan kerja dua hari beliau sempena Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia di ibu kota Tatarstan itu.



















