Seramai 7,057 pekerja dilaporkan kehilangan pekerjaan pada April lalu, mencatatkan peningkatan sebanyak 21 peratus berbanding 5,855 kes yang direkodkan pada Mac.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir menyifatkan perkembangan ini memerlukan perhatian serius walaupun angka tersebut lebih rendah berbanding awal tahun ini.
Bercakap dalam satu taklimat mengenai krisis bekalan global selepas mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), Akmal menjelaskan walaupun jumlah pada April berada di bawah paras 10,658 kes pada Januari dan 7,512 kes pada Februari, trend peningkatan bulan ke bulan tetap memerlukan pemantauan yang rapi.
"Walaupun angka ini lebih rendah berbanding Januari dan Februari, perkembangan ini kita akan terus berikan perhatian kerana kita sedar setiap satu angka yang kita laporkan, walaupun mungkin dilaporkan secara statistik, ianya mewakili keluarga yang hilang punca pendapatan," ujar beliau.
Bagi mengurangkan beban golongan terjejas, beliau memberi jaminan bahawa kerajaan akan memastikan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) atau LINDUNG Kerjaya di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berfungsi dengan pantas.
Mekanisme itu menyediakan bantuan kewangan segera dan perkhidmatan penempatan semula pekerjaan sementara mereka mencari peluang baharu.
Sektor pekerjaan negara sebelum ini menunjukkan petunjuk bercampur apabila Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan kadar pengangguran negara menyusut kepada 2.9 peratus, manakala Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) pula meningkat kepada 70.9 peratus.
"Kerajaan kekal komited untuk memastikan pekerja yang diberhentikan menerima sokongan tepat pada masanya. Kerajaan akan pastikan sistem insurans pekerjaan SIP atau Lindung Kerjaya di bawah PERKESO berfungsi dengan pantas untuk membantu mereka yang kita harus bantu," tambah Akmal.












