Ekonomi Malaysia dijangka berkembang hingga 5 peratus tahun ini

Berdasarkan Laporan Tahunan Bank Negara 2025 yang diterbitkan semalam, Malaysia telah merekodkan prestasi membanggakan dengan pertumbuhan 5.2 peratus pada tahun lalu.

By
Melangkah ke hadapan, pertumbuhan ekonomi bagi 2026 diunjurkan kekal stabil pada kadar antara 4 hingga 5 peratus. (FAIL) / Reuters

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan keyakinan terhadap ketahanan ekonomi negara dengan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mampu mencecah sehingga lima peratus bagi tahun 2026.

Beliau menegaskan bahawa asas ekonomi Malaysia kekal kukuh dan berdaya tahan, disokong oleh tadbir urus yang telus dan efisien.

Berdasarkan Laporan Tahunan Bank Negara 2025 yang diterbitkan semalam, Malaysia telah merekodkan prestasi membanggakan dengan pertumbuhan 5.2 peratus pada tahun lalu.

Momentum positif itu dipacu terutamanya oleh permintaan domestik yang teguh, sekali gus membuktikan keberkesanan strategi ekonomi yang dilaksanakan kerajaan di bawah kerangka MADANI.

Satu pencapaian yang signifikan turut dicatatkan melalui pengurusan kos sara hidup, di mana kadar inflasi pada tahun 2025 berada pada paras 1.4 peratus.

Angka tersebut merupakan rekod terendah dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, mencerminkan kestabilan harga barangan dan perkhidmatan di pasaran tempatan.

Melangkah ke hadapan, pertumbuhan ekonomi bagi tahun 2026 diunjurkan kekal stabil pada kadar antara empat hingga lima peratus.

Manakala bagi kadar inflasi keseluruhan, ia dijangka kekal sederhana dalam julat 1.5 hingga 2.5 peratus, memberikan petanda jelas bahawa dasar fiskal dan monetari negara berada di landasan yang tepat.

Meskipun dunia sedang berdepan dengan ketidaktentuan akibat konflik di Asia Barat yang memberi tekanan kepada rantaian bekalan dan harga komoditi, Malaysia tetap bersiapsia. Perdana Menteri memberi jaminan bahawa negara mempunyai kesiapsiagaan yang mapan bagi mendepani sebarang cabaran luaran yang mungkin timbul.

"Insya-Allah dengan sistem kewangan yang mempunyai daya tahan, kita akan terus mengimbangi pertumbuhan ekonomi dan melindungi rakyat," ujar beliau dalam satu kenyataan pada Selasa.