ASIA
2 min membaca
Thailand gesa rundingan lanjut tarif timbal balik dengan wakil perdagangan AS
Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul berkata beliau telah membangkitkan isu tarif sebanyak dua kali kepada Presiden AS Donald Trump semasa Sidang Kemuncak ASEAN di Malaysia dan Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC di Korea Selatan.
Thailand gesa rundingan lanjut tarif timbal balik dengan wakil perdagangan AS
Anutin berkata beliau telah membangkitkan isu tarif kepada Trump sebanyak dua kali di Malaysia dan Korea Selatan.
3 November 2025

Thailand akan mengadakan rundingan lanjut dengan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) bagi memuktamadkan butiran perjanjian tarif timbal balik, termasuk kadar tarif dan syarat kandungan nilai serantau (RVC), selepas kedua-dua pihak bersetuju untuk memperdalam hubungan perdagangan dua hala, lapor The Nation.

Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul berkata beliau telah membangkitkan isu tarif sebanyak dua kali kepada Presiden AS Donald Trump semasa Sidang Kemuncak ASEAN di Malaysia dan Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC di Korea Selatan.

Kata Anutin, beliau telah meminta kadar tarif 19 peratus dikurangkan, serta terma perdagangan dipertingkat. Trump dilaporkan bersetuju supaya USTR meneruskan perbincangan itu.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Ekniti Nitithanprapas berkata, rundingan setakat ini menunjukkan kemajuan positif, khususnya selepas kedua-dua negara menandatangani memorandum persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dalam mineral nadir bumi yang mengukuhkan kedudukan Thailand dalam rundingan itu.

Menurut kenyataan bersama Rumah Putih selepas Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur minggu lalu, Framework for a United States–Thailand Agreement on Reciprocal Trade bertujuan memperluas akses pasaran dan memperkukuh hubungan ekonomi, berasaskan Perjanjian Amity 1966 dan Trade and Investment Framework Agreement 2002.

Di bawah rangka kerja baharu itu, Thailand akan menghapuskan tarif import bagi kira-kira 99 peratus barangan dari AS, manakala AS mengekalkan kadar tarif timbal balik sebanyak 19 peratus ke atas barangan Thailand, dengan beberapa kategori produk mendapat kadar sifar.

Kedua-dua negara turut berjanji untuk menangani halangan bukan tarif, memperkukuh hak pekerja, dan menegakkan piawaian alam sekitar serta digital.

Thailand dan AS juga akan mempercepat perbincangan bagi memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Timbal Balik menjelang akhir tahun ini sebelum melalui proses undang-undang domestik masing-masing.