Thailand rangka pelan pemindahan rakyatnya susulan ketegangan di Timur Tengah
Menteri Luar Thailand Sihasak Phuangketkeow memberi amaran bahawa konflik di Timur Tengah kini bukan lagi serangan yang sekadar menyasarkan kemudahan nuklear Iran, tetapi dijangka menjadi konfrontasi yang "berpanjangan”, lapor The Nation.
Bercakap selepas mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (NSC) pada Isnin, beliau memperincikan pelan kecemasan untuk membawa pulang rakyat Thailand susulan ketegangan serantau yang kian memuncak.
Sihasak mendedahkan bahawa sebarang usaha pemindahan dari Iran memerlukan perjalanan darat yang sukar sejauh 1,000 kilometer menuju ke sempadan Turkiye sebelum mereka boleh menaiki penerbangan seterusnya.
"Kami sedang menyelaraskan langkah dengan pihak berkuasa Iran bagi memastikan laluan selamat atas dasar kemanusiaan. Perjalanan ini mencabar dan kami memerlukan jaminan keselamatan yang kukuh buat rakyat kami," katanya.
Di Emiriah Arab Bersatu (UAE), khususnya Dubai dan Abu Dhabi, lebih 1,000 warga Thailand telah menyatakan hasrat untuk pulang.
Kementerian Luar bercadang untuk memudahkan transit mereka melalui Muscat, Oman, memandangkan lapangan terbang antarabangsa di sana masih beroperasi.
Perjalanan selama dua jam dari UAE ke Oman buat masa ini dianggap sebagai laluan paling praktikal bagi mereka yang ingin keluar dengan segera.
Mengenai situasi di negara Teluk yang lain, kedutaan di Bahrain, Qatar, dan Kuwait kini sedang mengumpul maklumat mengenai jumlah rakyat yang ingin berpindah, dengan penyelarasan dibuat melalui Arab Saudi di mana penerbangan komersial masih berfungsi.
Di Israel pula, keadaan dilaporkan masih terkawal oleh pihak berkuasa tempatan dan setakat ini belum ada permintaan rasmi untuk penghantaran pulang daripada rakyat Thailand di sana.
Sihasak turut menyuarakan kembimbangan dengan menyatakan objektif serangan Amerika Syarikat dan Israel kini telah beralih daripada sekadar "menghapuskan ancaman nuklear" kepada konfrontasi yang lebih besar.
Beliau berkata Iran kelihatan bertekad untuk membalas dendam terhadap negara-negara yang menempatkan pangkalan AS di rantau itu, sekali gus menandakan konflik jangka panjang yang akan memberi kesan kepada ekonomi dan keselamatan domestik Thailand.
Walaupun terdapat gangguan isyarat yang berselang-seli, Kedutaan Thailand di Tehran kekal berhubung dengan pihak kementerian.
Sihasak menggesa semua rakyat Thailand di kawasan berisiko tinggi supaya menyimpan bekalan keperluan seperti air dan makanan kering, selain mengeluarkan nasihat perjalanan rasmi agar semua warganegara mengelak daripada mengunjungi Timur Tengah buat masa ini.