Thailand ingin beralih daripada sekadar menjadi hab pengeluaran kepada rakan strategik global dalam membangunkan industri masa depan, dengan memberi tumpuan kepada teknologi canggih, kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi hijau, menurut laporan The Nation.
Perdana Menteri Anutin Charnvirakul berkata strategi baharu “Thailand’s Offer to the World” dirangka bagi mengubah cabaran geopolitik, perkembangan pesat teknologi, perubahan iklim dan perubahan demografi kepada peluang ekonomi serta menarik pelaburan langsung asing (FDI) bernilai tinggi.
“Mesej saya kepada pelabur antarabangsa ialah Thailand bersedia untuk menjadi lebih daripada sekadar pangkalan pengeluaran atau pasaran pengguna. Kami mahu menjadi rakan dalam membina industri masa depan,” katanya ketika berucap pada Bangkok Business Summit 2026 pada Khamis.
Strategi itu berteraskan tiga sektor pertumbuhan utama iaitu teknologi canggih dan AI, peralihan hijau serta ekonomi berdaya tahan.
Menurut beliau, Bangkok mahu menarik pelaburan yang dapat meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan, membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bersaing di peringkat global serta membawa pembiayaan iklim kepada tenaga bersih dan infrastruktur berdaya tahan.
Anutin berkata kerajaannya turut menyemak lebih 7,000 undang-undang dan peraturan bagi mengurangkan kerenah birokrasi, selaras dengan usaha Thailand untuk menyertai Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).
Langkah itu bertujuan meningkatkan tadbir urus, ketelusan korporat dan piawaian kawal selia bagi mengukuhkan keyakinan pelabur.
“Jangan hanya datang untuk melabur di Thailand; datanglah untuk membina bersama Thailand,” katanya.
Kerajaan juga katanya akan mengutamakan pelaburan berkualiti yang melatih pekerja tempatan, mengintegrasikan pembekal domestik serta menyokong penyelidikan dan pembangunan dalam negara.






















