Malaysia dan Bangladesh akan memperkukuhkan kerjasama melalui mekanisme ASEAN bagi membantu mencari penyelesaian tuntas terhadap isu pelarian etnik Rohingya.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan usaha itu termasuk meneruskan libat urus secara aktif dengan pihak berkuasa Myanmar.
Bercakap pada sidang media bersama Perdana Menteri Bangladesh Tarique Rahman sempena lawatan rasmi rakan sejawatannya itu ke Malaysia hari ini, Anwar berkata kedua-dua negara komited dalam menangani krisis kemanusiaan ini yang telah berlarutan sekian lama.
"Kita turut bekerjasama dalam usaha menangani isu pelarian, khususnya etnik Rohingya di Bangladesh dan Malaysia. Melalui pejabat Menteri Luar dan mekanisme ASEAN, kita akan terus berunding dengan pihak berkuasa Myanmar bagi membantu menyelesaikan sebahagian isu terbabit," kata Anwar.
Sementara itu, Tarique turut menyuarakan kebimbangan mendalam nasib masyarakat Rohingya yang kini berlindung di Bangladesh.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas sokongan berterusan yang diberikan oleh Malaysia dalam usaha memastikan etnik berkenaan dapat pulang ke tanah air mereka secara selamat, bermaruah dan berkekalan.
Berhubung krisis di Asia Barat, kedua-dua pemimpin menegaskan bahawa Malaysia dan Bangladesh mempunyai pendirian yang sehaluan dan menuntut agar segala bentuk kekejaman terhadap penduduk Gaza oleh rejim Zionis Israel dihentikan dengan serta-merta.
"Mengenai isu global seperti Palestin, kekejaman yang sedang dilakukan terhadap penduduk Gaza oleh rejim Zionis Israel, serta sokongan terhadap keamanan yang berkekalan antara negara Teluk dan Iran, pendirian kami adalah sehaluan.
“Kami akan terus bekerjasama dengan semua rakan antarabangsa bagi memastikan keamanan dapat dicapai," tambah Anwar, sementara Tarique menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta organisasi antarabangsa lain.















