Kerajaan Malaysia menyambut baik pelaburan tambahan AS$15 bilion (kira-kira RM60.96 bilion) daripada Google, yang disifatkan sebagai bukti keyakinan global terhadap kestabilan negara, kekuatan modal insan dan aspirasi Malaysia untuk menjadi hab digital terkemuka di Asia Tenggara.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata pelaburan tersebut merupakan satu pencapaian penting yang mengukuhkan lagi keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap keupayaan Malaysia serta kedudukannya yang semakin menyerlah dalam landskap kecerdasan buatan (AI) global.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata pelaburan langsung asing (FDI) berimpak tinggi terus memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara, selain memperkukuh kedudukan Malaysia di barisan hadapan revolusi AI dunia.
Menurut beliau, aliran masuk modal berskala besar seperti itu menyediakan asas penting bagi pengembangan ekonomi makro, selain menyumbang kepada pembangunan aset fizikal berteknologi tinggi dan meningkatkan keyakinan pasaran global terhadap negara.
“Kita meraikan komitmen ini sebagai satu pencapaian besar. Pada masa sama, menerusi kerangka Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, matlamat kita adalah memastikan setiap pelaburan selari dengan perjalanan pembangunan negara yang lebih menyeluruh,” katanya dalam ucapan pada program Mantap Malaysia Bersama AI di Universiti Malaya pada Rabu.
Sebelum ini, Google mengumumkan rancangan untuk melabur AS$15 bilion di Malaysia dalam tempoh dua tahun bermula 2027 hingga 2028 bagi memperluaskan infrastruktur digitalnya, termasuk kampus pusat data di Selangor dan Negeri Sembilan, bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan AI dan pengkomputeran awan.
Anwar berkata kerajaan menyambut baik komitmen baharu Google itu, namun pada masa sama mahu memastikan setiap pelaburan asing membawa manfaat berpanjangan kepada negara serta rakyat Malaysia.
Mengenai pembangunan modal insan, beliau mengalu-alukan komitmen Google untuk meningkatkan kemahiran 800,000 rakyat Malaysia dan menegaskan bahawa kemajuan dalam bidang AI perlu dinikmati semua lapisan masyarakat, bukannya melebarkan jurang ketidaksamaan sedia ada.




















