PM Anwar: Kepengerusian Malaysia bawa ASEAN ke arah kemakmuran, kestabilan

Anwar berkata sidang ASEAN tahun ini menutup tirai kepengerusian Malaysia dengan sejarah penting yang terpahat, termasuk pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Kemboja dan Thailand, serta ASEAN–China Free Trade Area 3.0.

"ASEAN terus subur dipandu kebijaksanaan, rasional dan tujuan bersama," kata Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan. / AP

Malaysia berjaya mengemudi ASEAN tahun ini ke arah kemakmuran dan kestabilan, meskipun dunia berdepan pelbagai perubahan dan cabaran, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Sepanjang tahun ini, Malaysia menakhodai ASEAN dengan penuh keyakinan, mengemudi rantau ini di tengah-tengah perubahan dunia.

“Di bawah panji perpaduan dan keamanan, kita menghidupkan semula dialog, membina jambatan baharu dan membuktikan semangat ASEAN terus subur dipandu kebijaksanaan, rasional dan tujuan bersama,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Anwar berkata sidang ASEAN tahun ini menutup tirai kepengerusian Malaysia dengan sejarah penting yang terpahat, termasuk pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Kemboja dan Thailand, serta ASEAN–China Free Trade Area 3.0.

Beliau menegaskan bahawa meskipun tidak semua kebuntuan dapat diselesaikan, setiap langkah berani yang diambil sepanjang tahun ini telah “melengkungkan sejarah menuju harapan dan keadilan.”

“Di situlah kekuatan sebenar ASEAN — berpaut pada kesetiaan, keterangkuman dan keyakinan antara kita,” katanya.

Anwar turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia atas kesabaran dan keramahan yang ditunjukkan kepada sahabat serantau sepanjang tahun yang mencabar ini.

“Dunia telah menyaksikan, inilah wajah sebenar Malaysia,” katanya.