Tindakan Amerika Syarikat mengklasifikasikan Malaysia sebagai negara berisiko Tahap 2 dalam aktiviti perdagangan secara haram boleh menyebabkan kos pematuhan, pemeriksaan dan audit barangan melonjak, sekali gus memberi kesan kepada pengeksport tempatan, menurut laporan New Straits Times.
Pada 14 Ogos, Pejabat Dasar Perdagangan dan Pembuatan Rumah Putih menyenaraikan Malaysia bersama lebih 40 negara lain yang didakwa berisiko digunakan dalam rangkaian pemindahan barangan secara haram, yang dikaitkan dengan China, bagi mengelak tarif AS.
Malaysia berada dalam kategori Tahap 2 bersama Brazil, Indonesia, Thailand, Türkiye dan Vietnam, di mana laporan itu antara lain memetik hab pembuatan, pelabuhan laut dalam dan zon perdagangan bebas negara.
Penganalisis ekonomi Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata klasifikasi tersebut perlu dilihat sebagai satu amaran kerana sekiranya pemeriksaan dan audit asal barangan bertambah, terdapat kemungkinan jumlah tarif atau penalti juka bertambah sekiranya Washington menemui bukti aktiviti haram secara sistematik.
“Jika pihak berkuasa AS menemui bukti sistemik, mereka boleh mengenakan duti antipengelakan terhadap kod tarif tertentu,” katanya.
Pensyarah kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Mohamad Idham Md Razak berkata pengeluar Malaysia, khususnya dalam sektor solar, elektronik dan plastik, mungkin perlu menyediakan maklumat rantaian bekalan lebih terperinci bagi membuktikan proses pengeluaran sebenar dilakukan di Malaysia.
Antara risikonya adalah kelewatan operasi, kesesakan logistik, peningkatan kos pematuhan serta kemungkinan pelabur menangguhkan keputusan.
Aimi berkata kerajaan perlu memperkukuh penguatkuasaan terhadap syarikat yang mengelak membayar tarif, selain memperkenalkan sijil asal digital yang boleh dikesan dan audit mandatori bagi barangan ke AS.
“Malaysia perlu menunjukkan penguatkuasaan, bukan sekadar penafian,” katanya sambil menggesa peningkatan perkongsian data dan audit bersama pihak berkuasa AS.
Idham turut menggesa kerjasama lebih erat dengan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS bagi perkongsian data penghantaran serta audit zon perdagangan bebas.





















