Turkiye kumpul bukti jenayah terhadap kemanusiaan: Aktivis flotila Gaza
‘Perkara paling penting yang dilakukan Turkiye ialah membawa kami berjumpa doktor, peguam dan mengumpul bukti jenayah terhadap kemanusiaan,’ kata wartawan British, Kieran Andrieu.
Seorang wartawan British yang menyertai Global Sumud Flotilla memuji layanan mesra Turkiye terhadap aktivis selepas mereka diusir dari Israel, sambil menegaskan bahawa perkara paling penting yang dilakukan Ankara ialah membawa para aktivis berjumpa doktor dan peguam serta mengumpul “bukti jenayah terhadap kemanusiaan”.
Kieran Andrieu merupakan salah seorang daripada 13 warga British yang ditahan secara haram oleh Israel selepas rejim itu menyerang Global Sumud Flotilla di perairan antarabangsa.
Dalam temu bual bersama Anadolu di Lapangan Terbang Heathrow — tempat beliau tiba pada lewat Ahad dari Turkiye bersama tiga lagi aktivis British iaitu Sarah Wilkinson, Francis Cummings dan Evie Snedker — Andrieu berkata perjalanan mereka mengambil masa lebih dua kali ganda daripada yang dijangka.
Bagaimanapun, katanya, “Kami terus kental kerana, pertamanya, disebabkan cinta kami terhadap Palestin dan rakyat Gaza. Kedua, kerana ikatan kesetiaan yang terjalin antara kami setelah sekian lama berada di atas kapal — itulah yang membuat kami terus bertahan.”
Menyentuh tentang serangan dron, cabaran logistik dan ribut yang mereka lalui dalam pelayaran ke Gaza, Andrieu berkata semua itu tidak seberapa berbanding penderitaan harian yang ditanggung rakyat Palestin akibat penjajahan rejim kejam itu.
“Di bawah undang-undang antarabangsa, haram untuk mereka menaiki kapal kami atau memintas kami. Kami mempunyai hak sepenuhnya selagi rakyat Gaza mahu kami berada di perairan mereka,” katanya merujuk kepada serangan Israel terhadap misi itu.
‘Mata kami ditutup’
Bercakap tentang layanan tentera Israel selepas penahanan haram itu, Andrieu berkata mereka tidak dibenarkan untuk mendapatkan air minuman untuk tempoh yang panjang — satu pelanggaran terhadap Konvensyen Geneva.
“Kami dibawa dengan mata kami ditutup, diikat di dalam bas yang sangat sejuk pada tengah malam menuju ke sebuah penjara di padang pasir di Negev, iaitu tempat tahanan ramai rakyat Palestin yang pernah diseksa sebelum ini.”
Beliau berkata mereka dipaksa berada di dalam sel sempit, 10 hingga 12 orang setiap satu, dan dinafikan ubat-ubatan penting.
“Ubat-ubatan milik kami dibuang di depan mata kami. Saya melihat pesakit jantung dari pelbagai peringkat umur, termasuk warga emas berusia 80-an yang kehilangan ubat mereka begitu sahaja.”
Menjawab kenyataan pegawai Israel yang melabel peserta flotila sebagai “pengganas”, Andrieu berkata: “Menarik dakwaan itu — kami pengganas yang menggunakan ‘senjata’ dalam bentuk susu formula bayi, makanan, beras dan ubat-ubatan.”
“Jelas sekali, pengganas sebenar ialah mereka yang melakukan genosid, yang percaya mereka mempunyai kekebalan mutlak untuk mengebom jiran mereka sesuka hati demi kepentingan politik dalam negeri, dan yang telah menyebabkan lebih banyak kanak-kanak menjadi kudung” tambahnya.
‘Penyeksaan yang jelas’
Andrieu menyifatkan label “pengganas” itu sebagai “menyedihkan” dan “melucukan”, sambil berkata mereka yang berfikiran begitu sepatutnya “merasa sangat malu” seumur hidup mereka.
“Tapi mereka tidak akan buat begitu, kerana sesiapa yang punya rasa malu tidak akan sanggup menyaksikan genosid yang sebegitu jijik,” katanya.
Memaksa seseorang berlutut selama enam jam adalah satu bentuk seksaan — walaupun dalam bentuk lebih ringan — namun tetap penyeksaan, katanya sambil menambah semua aktivis mengalami perkara yang sama.
Beliau memberi contoh seorang aktivis yang menjerit “tolong, kecemasan perubatan” pada waktu malam, disangka mengalami serangan jantung.
“Dia menjerit tidak dapat bernafas, tapi tiada respon daripada pegawai Israel, walaupun ada doktor di penjara itu. Akhirnya kami sedar, kalau terus menjerit pun mereka sanggup biarkan dia mati. Jadi dia terpaksa kawal semula pernafasannya sendiri,” katanya.
“Itu pengalaman yang sangat mengejutkan — apabila saya dikejutkan jam 5 pagi oleh pengawal penjara Israel yang mengetuk jeriji sambil memaki kami,” katanya lagi.
‘Perkara paling penting’
Mengenang semalam yang dihabiskan di Turkiye selepas diusir, beliau berkata: “Ia benar-benar menyenangkan. Terima kasih kepada rakyat Turki.”
Beliau menghargai layanan baik Turkiye yang menyediakan makanan enak dan katil yang selesa untuk para aktivis.
“Ini adalah sesuatu yang sangat kami hargai. Tetapi perkara paling penting yang mereka lakukan ialah membawa kami berjumpa doktor, berjumpa peguam, dan mengumpul bukti jenayah terhadap kemanusiaan,” katanya.
Israel telah mengusir sekitar 170 peserta flotila Gaza dalam beberapa hari lalu, kebanyakannya ke Istanbul, sementara sekumpulan kecil dihantar ke Itali dan Sepanyol.
Pasukan tentera laut Israel menyerang dan merampas kapal-kapal Global Sumud Flotilla sejak Rabu lalu, menahan lebih 470 aktivis dari lebih 50 negara.
Flotila itu bertujuan menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza dan mencabar sekatan Israel ke atas wilayah tersebut — iaitu sekatan yang telah berkuat kuasa hampir 18 tahun dan menjejaskan kehidupan hampir 2.4 juta penduduk.
Sejak Oktober 2023, serangan udara Israel telah mengorbankan lebih 67,000 rakyat Palestin di Gaza — kebanyakan wanita dan kanak-kanak — dan menjadikan wilayah itu tidak lagi sesuai untuk didiami.