ASIA
2 min membaca
Skandal 1MDB dedah cabaran menjejak wang haram rentas sempadan
Pengubahan wang haram merupakan proses terancang untuk menyembunyikan asal usul dana daripada kegiatan seperti rasuah, penipuan, pengedaran dadah dan jenayah terancang.
Skandal 1MDB dedah cabaran menjejak wang haram rentas sempadan
(FAIL) Kes 1MDB membabitkan aliran dana besar melalui pelbagai entiti korporat, akaun luar pesisir dan bidang kuasa asing. / Reuters

Taktik menyembunyikan hasil jenayah dan rangkaian transaksi rentas sempadan menyukarkan usaha mengesan serta memulihkan dana yang diseleweng seperti skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), menurut laporan Harian Metro.

Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Norhaizam Muhammad berkata pengubahan wang haram merupakan proses terancang untuk menyembunyikan asal usul dana daripada kegiatan seperti rasuah, penipuan, pengedaran dadah dan jenayah terancang.

“Tujuan utamanya untuk memastikan wang ‘kotor’ itu kelihatan seolah-olah datang daripada sumber yang sah di sisi undang-undang,” katanya.

Menurut Norhaizam, kes 1MDB membabitkan aliran dana besar melalui pelbagai entiti korporat, akaun luar pesisir dan bidang kuasa asing.

Kerumitan itu menjadikan pengesanan, pembekuan, pelucuthakan serta pemulangan aset bergantung kepada kerjasama antarabangsa, selain penguatkuasaan dalam negara.

Beliau berkata usaha pemulihan turut memerlukan penyelarasan perundangan, bantuan perundangan bersama serta kepakaran teknikal untuk menjejak aliran wang dan mengenal pasti pemilik sebenar aset.

Menurutnya, SPRM melaporkan RM31.3 bilion, atau 74.5 peratus daripada RM42 bilion dana 1MDB yang diseleweng, berjaya dijejak dan dipulangkan kepada kerajaan Malaysia.

Norhaizam turut memberi amaran bahawa pengubahan wang haram boleh menjejaskan ekonomi negara dan global, termasuk mengurangkan hasil kerajaan akibat pengelakan cukai yang berkait dengan kegiatan haram.

“Aliran wang itu juga boleh mengganggu persaingan pasaran, menaikkan harga aset seperti hartanah dan menyebabkan sumber ekonomi disalurkan kepada aktiviti kurang produktif,” katanya.