Kerajaan India kemukakan rang undang-undang cadang perubahan pengurusan tanah wakaf Muslim, badan wakaf akan cabar "undang-undang hitam" di mahkamah
Wakaf merujuk kepada tanah atau harta yang diperuntukkan oleh orang Muslim untuk tujuan agama, pendidikan atau kebajikan.
Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi memperkenalkan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Wakaf di Lok Sabha, dewan rendah parlimen India.
Perubahan yang dicadangkan, jika diluluskan, akan menambah ahli bukan Muslim dalam lembaga yang mengurus harta wakaf, dan membolehkan kerajaan menentukan pemilikan harta yang dipertikaikan.
All India Muslim Personal Law Board (AIMPLB), organisasi Muslim terkemuka di India, menolak RUU tersebut dengan menyifatkannya sebagai "diskriminasi, bermotifkan sentimen komunalis, dan pelanggaran nyata terhadap hak perlembagaan warganegara Muslim", serta menyatakan akan memfailkan bantahan di mahkamah.
Organisasi itu mendakwa langkah ini akan mengikis autonomi Lembaga Wakaf dan menyeru rakyat turun ke jalanan sebagai bantahan jika RUU ini diluluskan.
Bantahan
Selepas perbincangan, RUU ini akan dibawa ke pengundian. Ia kemudian akan dikemukakan di Rajya Sabha, dewan tinggi parlimen.
AIMPLB mendakwa laporan jawatankuasa bersama parlimen gagal menangani kebimbangan mereka dan berjanji tidak akan berhenti berjuang sehingga undang-undang ini ditarik balik.
RUU yang pada awalnya mendapat tentangan parti pembangkang ini telah dirujuk kepada jawatankuasa bersama ahli parlimen yang telah menyampaikan laporannya.
Namun, pembangkang mendakwa kebimbangan mereka tidak diendahkan – satu tuduhan yang dinafikan oleh pengerusi jawatankuasa.
Sementara badan Muslim itu menegaskan rang undang-undang ini telah ditolak sepenuhnya oleh komuniti mereka sebagai "tidak demokratik", Bharatiya Janata Party (BJP) pimpinan Modi berhujah bahawa undang-undang ini bertujuan memastikan "akauntabiliti dan ketelusan".
Sebelum ini, bagi menekan kerajaan Modi agar tidak meneruskan rang undang-undang ini, ahli undang-undang negeri Tamil Nadu di selatan India telah meluluskan resolusi membantah perubahan yang dicadangkan.















