Ukraine setuju cadangan gencatan senjata, AS sambung bantuan ketenteraan

Seorang pembantu kanan kepada Zelenskyy berkata pilihan jaminan keselamatan untuk Ukraine telah dibincangkan dengan pegawai AS, namun tidak memberi butiran lanjut mengenai pilihan tersebut.

Setiausaha Negara AS Marco Rubio dan Penasihat Keselamatan Negara AS Mike Waltz bercakap kepada media selepas mengadakan pertemuan dengan delegasi Ukraine di Jeddah, Arab Saudi, pada 11 Mac 2025. (Reuters) / Reuters

Amerika Syarikat bersetuju untuk menyambung semula bantuan ketenteraan dan perkongsian risikannya dengan Ukraine serta-merta selepas rundingan di Arab Saudi, di mana Kiev menyatakan kesediaan untuk menerima cadangan AS bagi gencatan senjata selama 30 hari dalam perangnya dengan Rusia, menurut kenyataan bersama kedua-dua negara.

Setiausaha Negara AS Marco Rubio berkata beliau kini akan membawa tawaran tersebut kepada pihak Rusia dan menyatakan keputusan kini berada di tangan Moscow.

“Presiden mahu perang ini berakhir semalam… Jadi harapan kami adalah agar Rusia memberikan jawapan ‘ya’ secepat mungkin, supaya kita boleh memasuki fasa kedua, iaitu rundingan yang sebenar,” kata Rubio kepada wartawan pada Selasa, merujuk kepada Presiden AS Donald Trump selepas kenyataan itu dikeluarkan.

Ketika rundigan berlangsung, Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy berada di Arab Saudi namun tidak menyertainya. Katanya gencatan senjata itu adalah “cadangan yang positif” yang meliputi barisan hadapan konflik, bukan hanya pertempuran di udara dan laut.

Kedua-dua pihak juga menyatakan Washington dan Kiev bersetuju untuk memuktamadkan satu perjanjian menyeluruh bagi pembangunan sumber mineral kritikal di Ukraine. Perjanjian ini telah dalam perancangan selama beberapa minggu namun tergendala susulan pertemuan tegang antara Trump dan Zelenskyy di Rumah Putih minggu lalu.

Zelenskyy berkata kedua-dua negara akan berusaha untuk menyelesaikan perjanjian mineral tersebut.

Seorang pembantu kanan kepada Zelenskyy berkata pilihan jaminan keselamatan untuk Ukraine telah dibincangkan dengan pegawai AS, namun tidak memberi butiran lanjut mengenai pilihan tersebut.

SUMBER: Reuters