ASIA
2 min membaca
Permintaan elektrik pusat data diunjur naik 31% menjelang 2035
Berdasarkan unjuran Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET), lonjakan tersebut menyaksikan keperluan tenaga sektor itu meningkat daripada 10,544 Gigawatt-jam (GWh) kepada 73,274 GWh.
Permintaan elektrik pusat data diunjur naik 31% menjelang 2035
Fadillah Yusof berkata peningkatan drastik itu didorong oleh perkembangan pesat industri AI. / Foto: Jabatan Penerangan Malaysia / User Upload

Penggunaan tenaga elektrik oleh sektor pusat data di Semenanjung Malaysia diunjurkan melonjak dengan ketara daripada 7 peratus pada tahun ini kepada 31 peratus menjelang 2035.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Fadillah Yusof berkata, peningkatan drastik ini didorong oleh perkembangan pesat industri kecerdasan buatan (AI) dan infrastruktur digital.

Berdasarkan unjuran Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET), lonjakan tersebut menyaksikan keperluan tenaga sektor itu meningkat daripada 10,544 Gigawatt-jam (GWh) kepada 73,274 GWh.

Situasi ini sekali gus menaikkan permintaan puncak sistem pembekalan elektrik negara daripada 21.3 GW kepada 33.5 GW dalam tempoh sembilan tahun akan datang.

"Bagi memastikan keterjaminan bekalan elektrik yang stabil dan berdaya harap, pihak kementerian bersama Suruhanjaya Tenaga sedang melaksanakan beberapa langkah strategik termasuk melanjutkan operasi loji jana kuasa termal sedia ada sebagai penyelesaian jangka pendek," jelas beliau.

Selain itu, pelaksanaan bidaan terbuka bagi menambah kapasiti penjanaan berasaskan gas sedang dijalankan untuk memperkukuhkan beban asas penjanaan (baseload).

Kerajaan turut memperkenalkan mekanisme Corporate Renewable Energy Supply Scheme (CRESS) serta program Large Scale Solar (LSS5 dan LSS5+) yang menyasarkan kapasiti 4GW projek tenaga boleh baharu (TBB) bagi memberikan pilihan tenaga hijau kepada pengendali data.

Sebagai langkah mengurangkan beban grid nasional, syarikat pusat data juga digalakkan untuk membangunkan kemudahan jana kuasa elektrik sendiri bagi memenuhi keperluan operasi masing-masing.

"Kelulusan bagi permohonan pusat data baharu hanya akan diberikan sekiranya sepadan dengan perancangan kapasiti grid setempat, tanpa berkompromi terhadap keselamatan dan keterjaminan bekalan elektrik kepada rakyat," tegas Fadillah mengenai pendekatan saringan ketat oleh Pasukan Petugas Pusat Data (DCTF).

SUMBER:TRT Global