Menteri Dalam Negeri: Siasatan kes jenayah sekolah dijalankan secara telus, profesional
Saifuddin berkata semua pihak yang terlibat dalam kejadian berkenaan akan dibawa ke muka pengadilan mengikut undang-undang sedia ada.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan bahawa siasatan terhadap kejadian jenayah yang berlaku di sekolah akan dijalankan secara telus dan profesional, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, lapor Bernama.
Beliau menegaskan bahawa semua pihak yang terlibat dalam kejadian berkenaan akan dibawa ke muka pengadilan mengikut undang-undang sedia ada, selaras dengan prinsip bahawa polis dan komuniti sentiasa bekerjasama.
“Dalam aspek keselamatan sekolah, masyarakat berhak memberikan tumpuan kerana anak-anak mereka dihantar ke sekolah. Tanggungjawab kita ialah memperkukuh keyakinan rakyat, termasuk ibu bapa, bahawa jika berlaku insiden jenayah di sekolah, pelaku akan dibawa ke muka pengadilan,” katanya pada Rabu.
Saifuddin menjelaskan bahawa siasatan akan dijalankan bukan sahaja di bawah Akta Kanak-Kanak, tetapi juga melalui peruntukan dalam Kanun Keseksaan bagi memastikan tindakan menyeluruh ke atas kes seumpama itu.
“Polis tidak akan berkompromi dalam sebarang insiden jenayah di sekolah, tanpa mengira siapa pelakunya. Namun, tanggungjawab ini tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu polis — ia perlu melibatkan pihak sekolah, pemimpin masyarakat dan pendapat umum bagi menggalakkan kerjasama dalam aspek keselamatan,” katanya.
Pada Selasa, seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat dilaporkan maut dipercayai ditikam oleh pelajar lelaki Tingkatan Dua di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya.
Minggu lalu, seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah sekolah di Alor Gajah, Melaka pula dipercayai menjadi mangsa rogol kepada beberapa pelajar lelaki.